Jumaat, September 23, 2022

Bob Lokman meninggal dunia

 


Keadaan kesihatan pelakon, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman, 58, dikatakan mula merosot sejak seminggu, namun arwah enggan menda[patkan rawatan di hospital.

Perkara itu dimaklumkan sendiri anaknya, Omar Hakim Mohd Hakim, 28, ketika ditemui di rumahnya di Demit, dekat Kubang Kerian, di sini, hari ini.

"Sejak seminggu lalu kesihatannya semakin merosot, namun arwah enggan mendapatkan rawatan di hospital walaupun sudah beberapa kali dipujuk.

"Semalam ketika waktu Maghrib arwah sesak nafas dan keadaan itu berterusan sehingga jam 11 pagi tadi. Saya dan mama (Relawati Daud) masing-masing bersengkang mata menjaganya.

"Namun kerana terlalu penat saya terlelap dan hanya mama jam 2 petang tadi, memaklumkan ayah sudah meninggal dunia," katanya.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman disahkan meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian akibat komplikasi jantung, petang tadi.

Sebelum ini, arwah pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah, pada awal Disember 2020.

Pada 21 April lalu, Bob berpindah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut, namun akibat kekangan kewangan dialami, hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar dari hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April lalu.

Bob yang juga penulis lirik lagu terkenal Isabella dan Taman Rashidah Utama, meninggalkan isteri, Relawati, 42, dan tujuh cahaya mata.

Omar Hakim yang juga anak kedua berkata, arwah sebelum meninggal ada berpesan supaya kami adik-beradik bersama dengan mama meneruskan legasi perniagaan menjual nasi yang diusahakannya selama ini.

Katanya, selepas menjalani pembedahan jantung di IJN pada 2020, arwah mengambil keputusan pulang ke kampung untuk berada dekat dengan datuknya, Lokman Ahmad yang berusia lingkungan 80-an yang sakit tua.

"Selepas pulang ke kampung dan bagi meneruskan kelangsungan hidup, arwah bersama mama mula mengusahakan perniagaan menjual makanan seperti nasi maqluba, bubur daging, serta serunding dan pada masa sama, turut mengambil tempahan.

"Arwah sering berpesan kepada mama dan adik-adik supaya meneruskan perniagaan ini selepas ketiadaannya disebabkan mama mahir memasak," katanya.

Sementara itu, jenazah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk dimandi dan dikafankan, dengan solat jenazah diadakan di Masjid Kampung Pulau Hilir.

Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Isyak di Tanah Perkuburan Islam Pulau Hilir di Kubang Kerian.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts