Khamis, Mei 12, 2022

Warga KKM dilarang buat kenyataan jejas dasar, malukan kerajaan

 


Warga Kementerian Kesihatan (KKM) dilarang membuat sebarang kenyataan awam kepada pihak media atau orang awam seperti yang disenaraikan dalam Polisi Larangan Penyataan Awam 2021.

Penekanan berhubung perkara berkenaan turut dipaparkan dalam laman sesawang rasmi KKM.

Paparan berkenaan memaklumkan, seorang pegawai awam di bawah kementerian itu tidak boleh secara lisan atau bertulis, dengan apa-apa cara membuat penyataan awam yang boleh memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan untuk sebarang isu.

Selain itu, warga kementerian juga diingatkan untuk tidak membuat kenyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan kerajaan.

Turut dinyatakan, pegawai tidak dibenarkan memberi sebarang maklumat berdasarkan fakta berhubung perjalanan fungsi kerajaan.

Selain itu, memberikan sebarang penjelasan berkenaan sebarang peristiwa atau laporan membabitkan kerajaan atau menyebabkan apa-apa ulasan maklumat atau penjelasan sedemikian sama ada yang dbuat olehnya atau mana-mana orang lain.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika ditemui media pada Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2022, di sini hari ini, menjelaskan peringatan itu bukan disebabkan isu doktor pelatih dibuli, sebaliknya dasar biasa dan tidak merujuk mana-mana isu berkaitan KKM.

"Itu arahan biasa, iaitu individu yang dibenarkan sahaja boleh membuat kenyataan. Ia tidak merujuk kepada kes ini (doktor pelatih dibuli). Apa yang penting, kita memang mengambil serius berkaitan tuduhan doktor pelatih dibuli ini.

"Saya membuat pendirian untuk tidak banyak bercakap mengenai isu ini kerana banyak pandangan berbeza. Kita mahu lakukan siasatan yang adil kepada semua pihak dan sudah pasti doktor muda ini mahu tindakan diambil sekiranya betul perkara ini berlaku.

"Jadi ia perlu melalui tindakan yang sewajarnya dan bukan melalui media sosial semata-mata. Disebabkan kita ambil serius tuduhan ini, kita tidak boleh ambil tindakan hanya melalui tuduhan di media sosial sahaja, ia perlu melalui proses siasatan telus dan betul," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts