Isnin, Mei 30, 2022

KPM lanjut khidmat 2,683 guru kontrak

 


Kementerian Pendidikan (KPM) melanjutkan kontrak 2,683 guru kontrak perkhidmatan (COS) pengambilan 2020 yang akan tamat pada 9 Jun 2022.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pelantikan semula itu dimaklumkan kepada pihaknya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), kelmarin.

"Kita tahu guru pengambilan 2020 ini resah kerana kontrak mereka akan tamat pada 9 Jun ini dan semalam (kelmarin) saya menerima maklumat bahawa perkhidmatan mereka dilanjutkan.

"Tindakan ini bagi membolehkan proses berkaitan mereka sebagai guru bawah bidang kuasa SPP dapat dilaksanakan. Jadi, guru COS ini tidak lagi perlu risau dan segala proses yang dilakukan oleh SPP ini akan dilaksanakan sebaik mungkin," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3).

Sebelum ini, Radzi dilaporkan berkata guru COS akan mendapat khabar gembira kerana kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan SPP.

Dalam pada itu, Radzi memaklumkan keputusan guru COS bagi pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 secara 'one-off' bagi tahun 2021 sudah diumumkan dan calon boleh membuat semakan temu duga melalui portal SPP.

Mengenai majlis yang dihadiri, Radzi berkata, penambahan sekolah baharu di Putrajaya dibuat selepas melihat peningkatan penduduk yang konsisten di kawasan berkenaan.

"Setakat ini, terdapat kira-kira 400 pelajar yang sedang menumpang di sekolah lain, jadi dengan pembinaan sekolah baharu ini ia akan mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh sekolah sedia ada, khususnya sekolah rendah di kawasan Putrajaya.

"Terdapat sebanyak 36 bilik darjah di sekolah ini dan ia turut dilengkapi dengan padang dan beberapa gelanggang sukan. Ia akan siap dibina pada tahun 2023 dan dijangka beroperasi pada tahun 2024," katanya.

Ditanya sama ada kawasan yang dipilih itu bersesuaian kerana berdekatan dengan kawasan perumahan, Radzi berkata, pihaknya sudah membincangkan mengenai perkara itu dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Semua perkara sudah diambil kira, JKR sudah menyediakan laluan bersesuaian untuk masuk ke kawasan sekolah ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts