Jumaat, Januari 28, 2022

4 sekeluarga maut dirempuh pemandu positif dadah

 

Empat daripada lima sekeluarga maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki disyaki positif dadah di Kilometer 2, Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, di sini, petang tadi.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Raihan Muhammad, 43, dan tiga anaknya, Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz Mohd Nazri, 7, dan Ahda Imtinan Mohd Nazri, 4.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lima sekeluarga berkenaan dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur, sebelum MPV Toyota Vellfire dinaiki mereka dirempuh pacuan empat roda jenis Nissan Navara di persimpangan lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kemalangan mengakibatkan Raihan dan tiga anaknya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal berdasarkan maklumat saksi kejadian mendapati, pemandu Nissan Navara berusia 44 tahun itu dipercayai melanggar lampu isyarat sebelum merempuh kenderaan mangsa dari hadapan.

"Selain itu, siasatan juga mendapati pemandu Nissan Navara berkenaan memiliki tujuh rekod jenayah lalu berkaitan dadah dan polis akan mendapatkan perintah reman ke atasnya esok," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Katanya, mayat mangsa yang terbunuh dihantar ke Hospital Raub, manakala pemandu Nissan Navara pula dihantar ke Hospital Bentong, sebelum dirujuk ke Hospital Temerloh.

"Pihak polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian ini untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

 Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts