Public Bank tawar moratorium enam bulan

 

Public Bank Bhd komited membantu pelanggan individu, perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan kesulitan kewangan dalam tempoh pandemik COVID-19 menerusi tawaran moratorium selama enam bulan bermula 7 Julai 2021.

Bank itu dalam satu kenyataan berkata, tawaran moratorium selama enam bulan kepada pelanggan individu tidak mengira tahap pendapatan, sejajar dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Selain moratorium, ia berkata, pelanggan individu, perusahaan mikro dan PKS yang menghadapi kesulitan kewangan juga boleh memilih pengurangan 50 peratus bayaran ansuran bulanan selama enam bulan.

Katanya, semua pengemukaan untuk pilih masuk moratorium berkenaan adalah berdasarkan perakuan sendiri oleh pelanggan dan tiada dokumen diperlukan.

"Dengan bertambahnya kes COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih ketat, Public Bank sekali lagi memberi jaminan akan komitmennya untuk terus memberi bantuan kewangan kepada pelanggannya di seluruh negara.

"Kami berharap pelanggan kami akan terus optimis kerana Public Bank akan tetap bersama-sama mereka dalam mengharungi pandemik ini," kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek.

Selain itu, Public Bank juga membenarkan aturan penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman dan pembiayaan seperti yang diminta oleh pelanggan.

Ia menegaskan bahawa pakej pembayaran balik yang ditawarkan itu adalah lengkap dan menyeluruh serta fleksibel bagi memenuhi keadaan kewangan pelanggan yang khusus.

Rekod pelanggan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CRISS) juga tidak terjejas disebabkan oleh apa juga bentuk bantuan pembayaran balik COVID-19 berkenaan.

Bagi memudahkan pengemukaan pilih masuk yang cekap oleh pelanggan, platform digital Public Bank membolehkan proses dalam talian terus bagi tujuan untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

Public Bank telah menubuhkan talian Helpdesk khusus untuk memberi bantuan dengan lebih cekap kepada pelanggannya.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web Public Bank di https://www.pbebank.com

 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.