Alliance Bank tawar moratorium, pengurangan bayaran ansuran

 

Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) menawarkan moratorium atau pengurangan 50 peratus dalam bayaran ansuran pinjaman bagi tempoh enam bulan, selaras pengumuman kerajaan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich, berkata menerusi tawaran kemudahan itu, Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan juga tidak akan terjejas jika mereka memohon untuk pakej Bantuan Pelepasan Pembayaran Bank sebelum 31 Disember 2021.

"Kami faham bahawa individu dan perniagaan berdepan tekanan kewangan dan kami ingin membantu mereka.

"Sebagai tambahan kepada pakej pelepasan pembayaran standard (moratorium enam bulan atau pengurangan ansuran 50 peratus), pelanggan juga dapat menyesuaikan pakej pelepasan pembayaran mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Kornreich berkata, Alliance Bank memperkenalkan cara inovatif bagi individu dan perniagaan untuk mengambil bantuan pelepasan pembayaran dengan mudah.

"Pelanggan boleh mengisi e-borang di laman web, menghubungi saluran WhatsApp rasmi kami atau Pusat Khidmat Pelanggan untuk mendapatkan bantuan.

"Kami menggesa pelanggan untuk menghubungi kami secepat mungkin untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan," katanya.

Beliau menjelaskan, bank juga memberikan tumpuan untuk membantu pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi lebih berdaya saing pasca COVID-19.

"Penyelesaian bukan kewangan kami seperti BizSmart® Solution dan program Halal in One bukan sahaja membantu perniagaan untuk terus berdaya tahan, tetapi mampu mengukuhkan kedudukan mereka untuk pertumbuhan yang lebih tinggi seiring dengan peningkatan ekonomi," katanya.

Individu dan pemilik PKS yang berminat mengambil pakej bantuan pelepasan pembayaran boleh layari www.alliancebank.com.my, WhatsApp Bank (dengan mengimbas kod QR) atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di 03-5516 9988.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.