Sabtu, Julai 17, 2021

Premium insurans perubatan naik 10 hingga 15 peratus

 

Premium insurans perubatan di negara ini meningkat antara 10 hingga 15 peratus, manakala bagi insurans hayat pula tertakluk pada polisi baharu yang diambil pengguna.

Pengarah Eksekutif Agensi Insurans, Stable Vision Corporation Sdn Bhd, Richard Low, berkata bagi premium perubatan, kenaikan disebabkan produk yang semakin inovatif, termasuk berkaitan COVID-19, kos inflasi dan kos perubatan yang melambung tinggi, selain peningkatan risiko pencarum.

Beliau berkata, bagi premium insurans hayat pula, kadar premium lebih tinggi untuk polisi baharu dengan peningkatan terbabit mengambil kira manfaat dan perlindungan tambahan ditawarkan kepada pelanggan.

"Timbul salah faham masyarakat khususnya pelanggan mengenai kenaikan kadar premium insurans hayat dan perubatan. Untuk premium insurans perubatan, pelanggan dimaklumkan sejak daripada awal lagi mengenai perkara ini.

"Ingin ditegaskan di sini, berlaku kenaikan bagi kedua-dua insurans, termasuk membabitkan produk takaful tetapi pelanggan ada pilihan, bukannya paksaan atau pelanggan dipaksa setuju dengan perubahan polisi sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan rakyat yang mendakwa berlaku kenaikan dalam premium insurans di tengah-tengah keadaan ramai bergelut menampung kehidupan pada era pandemik.

Mengulas lanjut, Low berkata, bagi insurans hayat, polisi sedia ada menggunakan kaedah harga tetap.

Bagaimanapun, katanya, syarikat insurans menawarkan penambahbaikan polisi atau polisi baharu kepada pelanggan pada kadar premium lebih tinggi, tetapi tiada paksaan mengambilnya.

"Begitu juga dengan insurans perubatan, pelanggan tetap ada pilihan untuk tidak mengambil polisi dengan penambahan manfaat jika mereka tidak mampu dari aspek kewangan. Ia bukan mandatori. Syarikat insurans tetap menawarkan polisi ikut kemampuan pelanggan," katanya.

Low berkata, antara contoh kenaikan caruman premium insurans hayat adalah manfaat dua kali ganda akibat kematian disebabkan kemalangan; manfaat tiga kali ganda akibat kemalangan pengangkutan awam dan manfaat enam kali ganda akibat kematian disebabkan bencana alam.

Selain itu, contoh lain, katanya, manfaat tambahan yang akan meningkatkan premium insurans hayat juga membabitkan pertambahan senarai penyakit kritikal, peringkat awal penyakit kritikal, manfaat kepada pasangan serta penambahan kepada manfaat Infaq.

"Bagi insurans perubatan pula, syarikat insurans berhak menaikkan kadar premium dengan kenaikan disebabkan inovasi teknologi perubatan; rawatan dan ubat-ubatan lebih baik; kenaikan inflasi perubatan sebanyak dua angka setahun; pertukaran asing; perbezaan manfaat pelan perubatan seperti bayaran penuh, insurans bersama bagi jumlah atau peratusan tertentu yang ditanggung pemegang polisi.

"Kenaikan memang ada, tetapi ia bukan mandatori kepada pelanggan. Mereka tetap ada pilihan mengikut kemampuan komitmen kewangan.

"Selain itu, pelan takaful atau insurans ketika ini penuh dengan fleksibiliti untuk memenuhi keperluan pelanggan masing-masing. Insurans hayat atau pelan takaful juga menawarkan pelaburan patuh syariah yang membantu pelanggan melabur atau menyimpan untuk masa depan," katanya.

Beliau berkata, kenaikan kadar premium juga bergantung kepada syarikat insurans dan ia perlu mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, katanya, setiap kenaikan kadar premium diluluskan bank pusat, syarikat insurans akan tampil dengan pilihan tawaran lain bagi memastikan pelanggan disantuni seadilnya.

"Peranan agensi insurans selepas syarikat insurans mendapat kelulusan BNM adalah memaklumkan kepada ejen dan ejen maklumkan kepada pelanggan.

"Pelanggan ada pilihan dan boleh mengurangkan perlindungan ikut kemampuan. Dakwaan mengatakan syarikat insurans ambil kesempatan menaikkan kadar premium adalah tidak tepat.

"Syarikat menaikkan kadar selepas mengambil kira pelbagai aspek, tetapi pelanggan tetap ada pilihan," katanya.

Stable Vision adalah agensi insurans hibrid yang memiliki pasukan terbabit dalam takaful dan insurans konvensional.

Pengurus Agensi Prudential BSN Takaful di bawah agensi Muqmeen Group, Siti Nurbaya Ahmad Shadzli pula berkata, kenaikan premium insurans perubatan disebabkan peningkatan inflasi perubatan dengan kos rawatan semakin meningkat.

"Sebagai contoh, 15 tahun lalu, kos pembedahan antara RM8,000 hingga RM9,000, tetapi kini mencecah belasan hingga puluhan ribu ringgit. Sekarang peralatan juga canggih, jadi kos juga akan tinggi," katanya.

Beliau berkata, kenaikan kadar premium juga disebabkan tuntutan semakin melambung berikutan risiko kesihatan rakyat Malaysia yang turut meningkat.

"Ada golongan muda berpenyakit jantung dan kematian mengejut. Rawatan jantung juga boleh mencecah lebih RM50,000. Jadi apabila tuntutan meningkat, Dana Tabarru' akan menyusut kerana perlu membuat bayaran nisbah tuntutan yang sangat banyak.

"Justeru, perlu ada 'repricing' untuk jaga Dana Tabarru' bagi membolehkan tuntutan pelanggan dapat dibayar untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang," katanya.

Tabarru' membawa maksud menyumbang dengan rela atau menyediakan khidmat bakti secara ikhlas.

Dalam konteks takaful, tabarru' merujuk kepada peserta mendermakan sebahagian atau keseluruhan wang sumbangan dibayar ketika menyertai pelan atau skim takaful dengan tujuan membantu rakan peserta dibebani kehilangan atau kerugian berikutan dilanda musibah tertentu.

Memandangkan tabarru' dikategorikan sebagai kontrak satu pihak yang tidak memerlukan sebarang pertukaran atau timbal balas, aplikasi tabarru' dalam takaful menghapuskan unsur gharar, riba dan maisir.

Malah, Siti Nurbaya berkata, kos perubatan dan teknologi perubatan terbaik disediakan pihak hospital untuk keselesaan pesakit menyumbang kepada kenaikan premium.

"Syarikat insurans atau takaful menawarkan produk untuk perlindungan sehingga usia 70 atau 80 tahun. Jadi kenaikan premium akan menjadikan polisi diambil pelanggan lebih kukuh untuk perlindungan jangka panjang," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts