Sabtu, Jun 26, 2021

Pfizer, Sinovac, AstraZeneca sesuai untuk wanita hamil

 

Vaksin COVDI-19 keluaran Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca sesuai disuntik kepada ibu mengandung, berdasarkan panduan yang dikemas kini Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata Pfizer kekal disyorkan, manakala AstraZeneca dan Sinovac kini juga diklasifikasikan sebagai bersesuaian.

"AstraZeneca tidak lagi dikontraindikasi kepada kehamilan dan Sinovac pula disyorkan oleh laporan interim Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk ibu hamil dan menyusukan anak, berikutan manfaatnya jauh lebih besar daripada potensi risiko yang dikaji," katanya pada sidang media selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) ibu mengandung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Khairy berkata, setakat ini, hampir 109,607 pendaftaran vaksin bagi golongan ibu mengandung diterima di seluruh negara melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 11,663 dijangka bersalin pada Ogos ini dan golongan itu diberi keutamaan.

Katanya, lebih 10,000 ibu mengandung sudah diberi janji temu dengan nota 'Expectant Mother' pada janji temu mereka.

Beliau berkata, lebih kurang 6,000 waita hamil dijadualkan janji temu di PPV MITEC dan PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid untuk menerima vaksinasi hujung minggu ini.

Katanya, ibu mengandung kekal menjadi penerima vaksin COVID-19 berkeutamaan tinggi berdasarkan risiko jangkitan COVID-19 untuk kumpulan itu.

Mengenai industri, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sebanyak empat PPV industri sedang beroperasi, manakala 19 lagi akan beroperasi menjelang akhir bulan ini.

Beliau berkata, PPV industri minyak dan gas di Kerteh, Terengganu akan beroperasi pada Isnin ini dan PPV Industri Eastern Steel di Kemaman pula beroperasi pada Selasa.

Khairy berkata, program vaksinasi sektor ekonomi akan diperluas kepada industri lain dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perancangan rapi sedang dibuat bagi mengelakkan kejadian kehabisan stok vaksin di PPV.

Mengakui terdapat beberapa PPV kehabisan stok vaksin, katanya, kadar penggunaan vaksin yang tinggi menyebabkan stok bekalan vaksin cepat habis.

"Kita ada penghantaran pada Julai. Jadi perkara ini tidak akan berlaku. Kita mempunyai lebih lapan juta dos dan tujuh juta sudah digunakan, manakala sejuta dos dalam edaran," katanya.

Beliau berkata, 99 peratus warga emas di Kuala Lumpur yang berdaftar sama ada sudah divaksinasi atau mendapat janji temu untuk vaksinasi, manakala Selangor mencatatkan 88 peratus.

Sumber : BERNAMA

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts