Jumaat, Mei 10, 2013

Maybank bank ke-13 paling kukuh di dunia


KUALA LUMPUR 2 Mei - Malayan Banking Bhd (Maybank) menjadi bank Malaysia pertama memasuki senarai 20 bank paling kukuh di dunia berdasarkan kepada penilaian kewangan yang dijalankan oleh majalah Bloomberg Markets.

Maybank berada di kedudukan ke-13 dalam kumpulan bank-bank elit global dengan aset melebihi AS$100 bilion (RM305 bilion) berdasarkan kepada antara lain, kekuatan modal, kualiti aset, rizab kukuh serta kekuatan deposit dan pembiayaan.

Faktor-faktor lain yang membantu bank terbesar Malaysia itu mencapai skor tinggi dalam rangking tahunan ketiga bank-bank terkukuh dunia 'Bloomberg Markets' termasuklah kecekapan kos dan pengurusan risiko, kata majalah itu dalam satu laporan yang disiarkan di laman web Bloomberg.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, pengawalseliaan ketat oleh Bank Negara Malaysia dan ujian tekanan baharu serta langkah-langkah pengawalan risiko dalam bank itu sendiri merupakan faktor-faktor yang menyumbang kepada pencapaian ranking itu.

Menurut laporan 'Bloomberg Markets' itu, Maybank memperoleh skor tinggi dalam rizab pinjaman-kerugian kepada aset tidak berbayar dan deposit kepada pembiayaan serta kecekapan yang berdasarkan kepada kos kepada pendapatan.

Bagi mengenalpasti bank-bank terkukuh dunia, 'Bloomberg Markets' menilai 78 bank dengan jumlah aset AS$100 bilion atau lebih pada pertengahan Mac termasuk menemu bual para pegawai atasan.

Maybank kini memiliki 2,200 pejabat cawangan di 20 negara dan saiz serta kekuatannya itu adalah hasil kesan daripada krisis kewangan Asia 1997 hingga 1998 yang menyaksikan kejatuhan nilai mata wang serantau dan beberapa bank di Indonesia, Malaysia, Korea Selatan dan Thailand hampir tumbang.

Di Kuala Lumpur, BNM merancang penggabungan yang menggabungkan lebih 60 institusi kewangan negara menjadi 10 kumpulan perbankan perdagangan besar, yang kini dikurangkan kepada lapan.

Maybank juga muncul daripada kegawatan itu sebagai pemberi pinjaman terbesar di Malaysia.

Sejak itu, ia terus berkembang menjadi bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset.

Pengembangan pesat Maybank di luar negara bermula dengan pembelian pegangan besar dalam PT Bank Internasional Indonesia pada 2008 sebelum ke negara-negara lain di rantau ini.

- BERNAMA

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts