Khamis, Mac 07, 2013

Kuasa Blogger Makanan

Sebagai penganut agama Hindu, Tashny Sukumaran tidak memakan daging lembu, namun dia tiada masalah untuk memakan daging binatang lain.

Ekoran majoriti rakyat Malaysia beragama Islam, laporan media arus perdana mengenai makanan berasaskan haiwan lain yang haram di sisi agama tersebut amat kurang.

Bagaimanapun, laman blog membantu mempopularkan pilihan daging berkenaan untuk komuniti Cina dan India yang bukan Islam.

Blog-blog makanan bagaimanapun, kini menguasai menu-menu Asia dengan memberi ulasan tentang hidangan terbaharu di internet sekali gus satu pendedahan berharga kepada pengusaha restoran, kata blogger dari Australia, Thang Ngo.

Liputan

"Ulasan restoran di dada akhbar terbatas kepada beberapa muka surat setiap minggu. Restoran kecil menyukai blogger kerana kebanyakan mereka tidak pernah mendapat liputan di surat khabar," katanya kepada AFP.

Blog makanan merupakan fenomena dunia, namun di Asia ia lebih hebat kerana penggemar makanan begitu ghairah dengan sajian serta cerewet tentang rasa selain makanan turut berkaitan dengan tradisi masyarakat.

Di Malaysia, keghairahan tentang makanan begitu hebat berbanding negara-negara lain kerana negara itu mempunyai banyak kafe terbuka dan gerai-gerai makanan tepi jalan.

Justeru, peluang untuk liputan begitu kurang namun perbahasan atau ulasan di blog memudahkan penggemar makanan untuk mencari hidangan sedap di sesuatu tempat.

Blog makanan menarik perhatian ramai, justeru blogger turut mencari peluang menambah pendapatan.

Laman web www.ladyironchef.com milik warga Singapura, Brad Lau dikunjungi seramai 1.5 juta orang pada Disember lalu, ia juga menjual iklan di laman web tersebut termasuk yang tiada kaitan dengan makanan.

"Blog umpama promosi mulut ke mulut," kata Lionel Lau, pengasas bersama Des Gourmand, sebuah kumpulan restoran di Malaysia.

Komuniti blog makanan di Korea Selatan juga tidak kurang hebat. Antaranya, kumpulan yang dikenali sebagai Power Bloggers yang menarik kunjungan puluhan ribu orang setiap hari ke blog-blog mereka.

Janice Tan dan suaminya, Tee Tsun Joo membuka premis pertama restoran makanan segera, Ninja Joe, pada tahun 2009. Kini, dia memiliki lima buah restoran sekali gus menjana pendapatan yang lebih tinggi.

"Kami tidak menjemput blogger, mereka sendiri yang datang. Tahun lalu, kami dapati lebih 130 ulasan tentang restoran kami," katanya yang tidak pernah membuat sebarang iklan.

Kesan negatif

Bagaimanapun, adakah kamu masih mempercayai blog makan?

Itulah soalan yang sering ditanya seiring peningkatan blogger dan ia semakin terdedah kepada kesan negatif, rungut segelintir pengusaha restoran.

Antara isu tersebut termasuk broker mengenakan kadar bayaran tinggi kepada peniaga untuk mendapat liputan media dan ulasan positif.

Tony Hong, pelakon dari Korea Selatan yang mempunyai beberapa restoran di sana, mendakwa pada 2011, pihak yang sering membuat liputan mengenai restorannya meminta bayaran sebanyak 120,000 won (RM342) sebulan untuk ulasan positif.

"Saya tidak memenuhi permintaan tersebut, selepas itu restoran saya mendapat beberapa komen negatif," kata Tony.

Lee Khang Yi, penyunting ruangan makanan The Malay Mail, akhbar yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, berkata, blogger Malaysia mampu memperoleh pendapatan antara RM300 hingga RM1,500 bagi satu ulasan positif dalam entri blog mereka.

Blogger di Singapura berkata, pengusaha restoran di negara tersebut sanggup membayar sehingga RM5,000 bagi satu ulasan positif dalam entri blog popular.

Pengusaha restoran mengadu tentang blogger meminta makanan percuma atau berdepan ulasan negatif juga semakin meningkat.

Meskipun terdapat beberapa aduan, penyunting Time Out Kuala Lumpur, Lim Chee Wah berkata, blog makanan dan media sosial telah membantu perkembangan industri makanan.

"Liputan di blog, media tradisional dan sosial mendapat banyak perbahasan di negara ini. Mereka membuat satu trend dengan mewujudkan rangkaian penggemar makanan kerana orang ramai akan mencuba makanan yang dicadangkan," katanya.

- AFP



           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts