Ahad, Februari 03, 2013

Kos Haji 2013 kekal RM9,980

Kos mengerjakan ibadah haji bagi tahun 2013 tetap dikekalkan pada kadar RM9,980 seorang walaupun kos sebenar mengalami kenaikan daripada RM15,150 tahun lalu kepada RM15,555 tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, walaupun Malaysia merupakan negara yang menawarkan pakej haji termurah, Tabung Haji tetap menyalurkan subsidi bagi menampung kenaikan kos seperti yang diputuskan Arab Saudi.

"Subsidi sebanyak RM150 juta pada tahun lalu akan bertambah berikutan peningkatan sewa bilik hotel, pengangkutan dan beberapa kos lain ekoran proses pembesaran Masjidil Haram.

"Justeru, kita seharusnya bersyukur tambang tidak dinaikkan pada musim haji kali ini walaupun kos sebenar meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-29 di Kuantan.

Beliau juga berkata TH dijangka mengumumkan bonus dan dividen yang bakal diperoleh pendeposit haji Khamis ini.

"Pada masa kini terdapat dana berjumlah RM35 bilion di TH dan saya akan umumkan bonus dan dividen pendeposit Khamis depan," katanya.

Jamil Khir turut menasihati bakal haji supaya mengikuti kursus haji di bawah bimbingan 360 pembimbing di seluruh negara.

Mengenai muzakarah tersebut yang berlangsung dari 1 hingga 4 Feb ini, beliau berkata ia bagi membincangkan kaedah terbaik untuk meningkatkan keberkesanan bimbingan ibadah haji.

"Melalui majlis ini, pelbagai isu mengenai ibadah haji diketengah dan dibahaskan bagi mencari penyelesaian terbaik serta bernas dari aspek teori dan aplikasinya," katanya.  

- BERNAMA


0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts