Jumaat, Mei 04, 2012

Kereta Elektrik Nissan Leaf diperkenalkan


PETALING JAYA 3 Mei - Kenderaan elektrik (EV) dan hibrid di jalan raya dijangka mampu menguasai 10 peratus daripada jualan keseluruhan industri (TIV) pada 2020, walaupun permintaannya perlahan ketika ini.

Walaupun insentif cukai untuk kenderaan hibrid dan EV telah dilanjutkan sehingga Disember 2013, namun jualannya masih kurang memberangsangkan berbanding di negara lain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lebih 80,000 buah EV dan tiga bilion buah kereta hibrid telah terjual di pasaran global.

"Di Malaysia hanya 8,000 buah kenderaan hibrid terjual setakat ini dan 21 buah EV berada di jalan raya untuk program uji pandu. Daripada 21 buah EV tersebut, 10 buah adalah Nissan Leaf, dua Mitsubishi Miev dan sembilan Proton.

"Kami yakin pasaran kenderaan berkenaan akan berkembang pada 2020, selari dengan perkembangan teknologi dan infrastruktur sokongan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis memperkenalkan Nissan Leaf oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM), di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dan Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Ang Bon Beng.

Mustapa berkata, kerajaan juga memberi lebih tumpuan terhadap pembangunan EV dan hibrid dalam proses kajian semula Dasar Automotif Negara yang dijangka dibentangkan di kabinet tidak lama lagi.

"Lebih banyak insentif cukai dan fiskal dicadangkan bagi membangunkan industri berkenaan. Kerajaan juga sedang merangka pelan pembangunan infrastruktur seperti stesen pengecas untuk EV.

"Ketika ini hanya Proton menawarkan stesen pengecas EV iaitu Putrajaya. Untuk kegunaan individu, sistem pengecas bateri berharga RM400 manakala untuk kegunaan awam masih belum diketahui lagi," jelasnya.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 10 buah Nissan Leaf akan digunakan dalam program pandu uji selama setahun dengan tujuan menyampaikan maklumat dan menerima maklum balas daripada orang ramai.

Kenderaan EV berkenaan mungkin akan dipasarkan di pasaran tempatan dua atau tiga tahun lagi bergantung kepada permintaan.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi jualan Nissan pada tahun ini, Bon Beng berkata, syarikat menyasarkan pertumbuhan yang lebih baik daripada pertumbuhan TIV iaitu 2.5 peratus.

"Tahun lalu Nissan menjual lebih 30,000 kenderaan dan dijangka meningkat tahun ini, iaitu lebih daripada 2.5 peratus hasil pengenalan produk baru," ujarnya.

Tambahnya, Nissan sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan bagi menyediakan stesen pengecas kenderaan EV yang dilihat menjadi penentu pembangunan industri berkenaan.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts