Ahad, April 01, 2012

Pasaran kerja naik 43 peratus

TINJAUAN pasaran pekerjaan di Malaysia dalam suku pertama tahun ini meningkat berbanding suku sebelumnya dengan syarikat terus mengambil pekerja berbakat di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, kata Pengurus Negara JobStreet.com, Chook Yuh Yng. Beliau berkata, mengikut Indeks Tinjauan Pekerjaan syarikat itu untuk suku pertama lalu, 43 peratus telah mengunjurkan tinjauan pekerjaan akan menjadi bertambah baik sedikit sementara 29 peratus berkata ia akan kekal sama seperti suku pertama tahun lalu. Katanya, walaupun kaji selidik untuk ekonomi negara menunjukkan 31 peratus daripada pekerja menjangkakan ekonomi akan lembap, jumlah iklan pekerjaan di JobStreet.com masih lagi tinggi. “Terdapat 27,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia di JobStreet.com dengan 30,000 syarikat aktif mengambil pekerja," katanya kepada pemberita selepas perasmian pameran Kerjaya dan Latihan JobStreet.com Malaysia 2012 yang ke-13 di Kuala Lumpur semalam. Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan. Mengenai aktiviti pengambilan pekerja, Chook berkata 44 peratus daripada responden berkata, mereka akan mengambil lebih sedikit pekerja dan menggantikan semula ataupun memenuhi jawatan penting hanya dalam tempoh 12 bulan ini. “Sejumlah 25 peratus lagi akan mengekalkan kadar pengambilan manakala 23 peratus berkata syarikat mereka akan mengembangkan perniagaan, sekali gus mengambil lebih ramai pekerja," katanya. Pada masa ini, sektor paling tinggi mengambil pekerja ialah sektor pembuatan, komunikasi maklumat dan teknologi, pembinaan/hartanah, perbankan dan perkhidmatan kewangan dan borong serta runcit. Kaji selidik itu yang dikendalikan setiap suku, meliputi sejumlah 1,111 pelanggan, pengurus dan pengurus kanan JobStreet.com di keseluruhan pelbagai industri. - BERITA HARIAN
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts