Jumaat, Mac 16, 2012

Hos bukan sekadar glamor

RAMAI yang memandang mudah tugas seorang hos atau pengacara. Menjadi pengacara bukan semata-mata bersandarkan wajah dan penampilan yang menarik. Selain bakat, ia juga memerlukan kebijaksanaan untuk menyampaikan isi program dengan cara yang baik supaya dapat menarik orang untuk menonton program tersebut.

Sebagai seorang wanita yang mempunyai rupa paras yang menarik, mungkin memudahkan mereka menarik perhatian penonton untuk terus melekat dan menyaksikan apa yang ingin diketengahkan dalam program tersebut.

Antara hos wanita Malaysia yang mempunyai 'kuasa' dalam bidang pengacaraan termasuklah Azizah Ariffin, Datin Normala Samsuddin, Wan Zaleha Radzi, Nurul Syuhada Nurul Ain, Fara Fauzana dan ramai lagi.

Mereka seperti mempunyai aura di samping petah berkata-kata membuatkan program yang dikendalikan digemari ramai. Ia juga memerlukan kepintaran yang tidak selalunya dimiliki semua orang seperti kepantasan berfikir terhadap pengetahuan hal ehwal semasa dan inilah yang menjadikan pengacaraan itu mahal.

Bercerita tentang salah seorang personaliti TV yang berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad menggalas tugas sebagai pengacara televisyen, Wan Zaleha Radzi atau nama sebenar Wan Nor Zaleha Wan Ahmad Radzi, telah memulakan perkhidmatannya sebagai wartawan di TV3 pada tahun 1985.

Ketika itu, dirinya baru sahaja tamat belajar dari luar negara dan memegang impian ingin menjadi seorang wartawan yang berkarisma. Wanita ini mula menjadi pembaca berita dalam Buletin Utama dan seterusnya beralih menjadi pembaca berita Inggeris 7 O'Clock News ketika itu. Akhir sekali sebelum mengakhiri kariernya sebagai personaliti televisyen, dia pernah mengendalikan program Majalah Tiga.

Walaupun sudah hampir 16 tahun meninggalkan dunia kewartawanan, namun kerana integriti dan bakatnya itu, namanya masih lagi diingati sebagai salah seorang hos wanita yang berjaya.

Kepetahan berkata-kata Fara Fauzana atau Fafau yang memulakan karier sebagai penyampai radio Era FM pada tahun 2004 pula telah melonjakkan namanya dalam dunia penyampai radio. Namun setelah setahun bersama Era FM, Fafau dilamar pula oleh Hot FM dan kekal di situ sehingga kini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perhubungan Awam dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam (UiTM) ini diberi pula kepercayaan mengendalikan program gosip terhangat di saluran TV3 iaitu Melodi bergandingan bersama Wahid.

Bukan itu sahaja, Fafau juga telah berjaya menggondol anugerah Pengacara TV Popular Anugerah Bintang Popular dari tahun 2005 hingga 2007 serta anugerah Penyampai Radio Popular pada tahun 2007.

Syuhada tiada pengalaman

Sebut sahaja nama Nurul Syuhadah Nurul Ain Mohd. Zin, siapa yang tidak kenal personaliti wanita muda yang sangat menyerlah ketika mengacarakan program Majalah 3. Nurul Syuhada merupakan pemenang program pencarian hos enam tahun lalu yang dianjurkan oleh TV3 iaitu Malaysian Top Host.

"Selepas memenangi Malaysian Top Host pada 2005, saya masih bergelar seorang pelajar di Universiti Malaysia Terengganu dalam bidang Sains Marin. Ketika itu, tumpuan utama ialah untuk menghabiskan pengajian.

"Namun pada masa yang sama, nasib menyebelahi saya apabila ditawarkan untuk menjadi hos Nona. Penglibatan saya dalam bidang pengacaraan ini umpama tuah yang membawa rezeki," tutur Nurul Syuhada mengimbau kenangan manis ketika pertama kali terjun ke dalam bidang penyiaran.

Bermula dari bawah, dengan tiada pengalaman dalam bidang penyiaran, sehingga hari ini dia masih meletakkan diri saya dalam proses pembelajaran sebagai wartawan penyiaran dan pengacara.

Walaupun ketika itu masih berusia 21 tahun, namun wanita ini berjaya menyerlahkan bakatnya untuk membuktikan dia layak menjadi juara dan bukan hanya bersandarkan pada rupa paras yang menawan sahaja.

Sebelum itu, dia telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai hos Nona dan seterusnya Majalah 3 sejak tiga tahun lalu hingga kini.

Selain itu juga, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini juga pernah mengacarakan sebuah lagi program wanita popular terbitan TV3 iaitu Wanita Hari Ini (WHI) dan juga sebuah lagi program bual bicara, Malaysia Hari Ini (MHI). Menambah resume dalam bidang pengacaraannya, dia juga pernah menjadi pengacara pada majlis berprestij Anugerah Skrin pada tahun 2009.

Pengalaman pahit manis Azizah Ariffin

Seorang lagi pengacara yang tidak perlu diperkenalkan lagi namanya, Azizah Ariffin sememangnya tidak asing lagi dalam dunia kewartawanan tempatan.

Ujar Azizah, bidang pengacaraan diceburinya secara tidak sengaja yang bermula setelah tamat pengajian dari universiti dan justeru tidak sangka dipilih dari ratusan orang yang mencuba.

Memulakan karier dalam bidang ini sebagai penyampai intisari rancangan sehinggalah ketika itu ditawarkan menjadi wartawan penyiaran, pembaca berita dan seterusnya pengacara program televisyen.

"Pembabitan saya sebagai pengacara siaran langsung ketika itu bermula dengan program bual bicara awal pagi iaituI Agenda bersama Suhaimi Sulaiman dan Zakiah Anas. Saya juga pernah beberapa kali mengendalikan program siaran langsung pengumuman pilihan raya umum bersama pengacara senior yang lain seperti Ezzah Aziz Fauzy, Suhaimi Sulaiman, Zakiah Anas, Zainal Ariffin dan ramai lagi.

"Oleh kerana pengetahuan tentang bidang politik negara agak terhad, kami melakukan research berminggu-minggu dan tiba-tiba menjadi 'pakar' dalam bidang politik tanah air," imbau Azizah yang masih terserlah pesona diri walaupun usia telah mencecah 40-an.

Tambahnya, pengacara adalah duta sesebuah rancangan dan sebagai pengantara, tanggunjawab yang dipikul sangat berat sama ada boleh menarik perhatian penonton atau tidak. Seorang pengacara yang baik haruslah mempunyai personaliti yang menarik dan tersendiri namun ia dianggap bonus jika punyai wajah yang menarik dengan kelulusan yang baik.

"Yang penting jangan menjadi pengacara yang syok sendiri atau hanya gila glamor. Kebanyakan pengacara yang bertahan dalam bidang ini bukan mereka yang hanya inginkan percikan glamornya sahaja namun kerana cinta dan minat yang mendalam dalam bidang penuh cabaran ini.

"Kepuasan terletak pada penyampaian dan perkongsian ilmu dan mesej kepada sasaran penonton, itu jauh lebih menyeronokkan serta memberikan kepuasan," akhiri Azizah memberi petua untuk warga muda yang ingin menceburi bidang pengacaraan.

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts