Jumaat, Januari 06, 2012

Dakwah tuntut pengorbanan

Oleh Mohd Hassan Adli Yahya
Imam Muda

KETIKA melalui zaman bergelar mahasiswa dan sebelum menyertai program Imam Muda, tidak dinafikan saya sedar tugas dakwah itu bukan satu tugas mudah.

Tetapi, sebagai manusia biasa, mudah saja melihat kekurangan pada diri orang yang berdakwah dan sekali sekala mengkritik umpama diri terlalu sempurna. Tidak kiralah apa saja isunya, baik dari segi cara dan isi penyampaian sehinggalah cara penampilan pendakwah itu.

Namun, apabila saya dilantik menjadi imam di Masjid Al-Iman, di Kemensah Heights, baru saya sedar bukan mudah menggalas tugas sebagai pendakwah. Malah, saya sendiri tidak terkecuali menerima pelbagai cabaran sepanjang terbabit dalam usaha dakwah, yakni selepas menyertai program Imam Muda.

Banyak aktiviti saya selepas tamat program Imam Muda membabitkan usaha dakwah. Sepanjang tempoh ini, banyak komen positif yang diterima serta tidak kurang juga komen sebaliknya.

Pernah juga ada yang bertanya, tidakkah berasa kerugian menceburi bidang dakwah pada usia muda ketika rakan lain pada usia saya menikmati usia remaja mereka dengan pelbagai hiburan.

Sebenarnya, atas rasa tanggungjawab, saya tidak pernah menyesal dengan jalan yang dipilih. Saya sentiasa memotivasikan diri dengan menjadikan firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 104, sebagai panduan.

Maksud ayat: “Dan hendaklah ada dikalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar, merekalah orang-orang yang beriman.” Bagi saya, biarlah tidak glamour, tetapi saya berasa tenang dengan jalan yang saya pilih sekarang.

Namun harus saya akui, tugas dakwah itu bukan perkara mudah. Lebih-lebih lagi bagi diri saya yang masih bertatih ini kerana kita tidak mampu membuatkan orang berfikir seperti apa yang kita fikirkan.

Seperkara lagi, mungkin menjadi stigma masyarakat sekarang yang menjadikan tugas berdakwah hanya dilakukan oleh sekelompok individu dalam satu formaliti.

Ramai antara masyarakat, apabila menyebut saja tentang dakwah, akan terbayang wajah seorang ustaz yang berjubah dan berserban ataupun seorang ustazah yang bertudung labuh.

Saya pernah disapa seseorang di sebuah masjid ketika masih dalam program Imam Muda. Beliau menyatakan kurang bersetuju dengan pakaian yang dikenakan peserta Imam Muda seperti kemeja, kot dan tali leher kerana ia persis kebaratan.

Katanya lagi, peserta Imam Muda sewajarnya mengenakan jubah dan serban dalam rancangan itu agar lebih dekat dengan status imam atau pendakwah yang dibawa.

Itu antara maklum balas yang diperoleh hasil rancangan Imam Muda yang lepas. Namun persoalan timbul adalah, adakah menjadi satu pelanggaran adat untuk berdakwah tanpa mengenakan jubah atau serban pada masa yang serba canggih ini? Tidak dinafikan jubah dan serban adalah pakaian yang paling afdal kerana ia boleh dikategorikan sebagai sebahagian daripada sunnah. Tetapi, ada masanya kita perlu mengenakan jubah dan serban untuk berdakwah, ada masanya juga kita perlu berpakaian seperti remaja lain dengan tujuan mudah menghampiri mereka, mengikut tempat, masa dan suasana.

Lihat saja bagaimana cara orang Kristian berpakaian dalam usaha menarik masyarakat kepada agama mereka. Jika mereka berpakaian seperti paderi, tentu sukar menjalankan tugas mereka untuk menarik orang ke dalam agama mereka.

Oleh itu, usaha dakwah perlu dilakukan dengan lebih kreatif. Apa yang lebih penting, kita mampu untuk membuat orang tertarik dan mahu mendengar apa yang cuba kita sampaikan.

Kerana itulah semasa program Imam Muda dulu, selain jubah dan busana Muslim, kami juga mengenakan pakaian seperti kot, kemeja dan tali leher supaya pendakwah kelihatan lebih versatile ketika berdakwah.

Itu antara beribu isu yang timbul apabila berbicara mengenai dakwah. Tatkala dunia kini semakin bercelaru dengan pelbagai ideologi seperti Liberalisma, Hedonisma, Sekularima, tugas sebagai pendakwah dilihat semakin mencabar.

Tambahan pula selepas kewafatan Rasulullah SAW, tiada lagi Nabi dilantik Allah sebagai utusan untuk menyebarluaskan mesej Islam.

Justeru, tugas dakwah sebenarnya dipikul oleh setiap seorang di antara kita. Dakwah bukanlah tergalas atas bahu ustaz dan ustazah saja, malah ia adalah tanggungjawab seluruh umat Islam beriman seperti mana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud: “Kamu (Islam) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada melakukan kebaikan (makruf) dan mencegah kepada kemungkaran dan beriman kepada Allah.” Dalam kita sedar atau tidak, dakwah sebenarnya boleh dilakukan di mana dan bila-bila masa saja kerana pada zaman yang serba canggih kini, terlalu banyak medium yang boleh digunakan untuk kita menjalankan tugas sebagai seorang pendakwah.

Contoh paling mudah, memberikan kata nasihat di dalam facebook juga dikira sebagai dakwah kerana mungkin ada orang yang boleh tersentuh dan bermuhasabah dengan kata-kata baik yang kita coretkan.

Baru-baru ini juga saya ke Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk memenuhi jemputan sebagai ahli panel sebuah forum Islamik.

Apa yang menarik perhatian saya adalah forum ini mampu menarik kehadiran rakan yang bukan beragama Islam untuk turut serta.

Ternyata ia juga dikira sebagai kerja dakwah. Jika bukan kerana mahasiswa Islam di sini yang menarik minat mereka, tentu sukar mereka hadir ke majlis seperti ini.

Ini adalah contoh usaha yang sewajarnya diteladani. Kita mendampingi mereka mudah-mudahan hidayah Allah singgah di hati mereka satu hari nanti.

Namun kadangkala setiap perkara yang baik tentu saja ada cabarannya. Saya sering mendapat e-mel atau kiriman SMS yang meluahkan perasaan atau pertanyaan mengenai sesuatu permasalahan.

Baru-baru ini, saya mendapat e-mel daripada seorang hamba Allah yang menyatakan beliau sering berasa rendah diri dan tidak yakin untuk menulis status yang berbentuk nasihat dalam Facebooknya.

Ini kerana status beliau sering dibalas komen berbentuk sinis oleh rakan seolah-olah mahu memberitahu beliau seorang yang alim dan bagus. Itu antara dilema yang dihadapi oleh kita pada zaman sekarang. Namun apa yang perlu sentiasa disemat dalam hati, bukan mudah mendapat syurga Allah. Apalah sangat cabaran kecil yang dihadapi jika hendak dibandingkan dengan umat Islam terdahulu ketika berusaha menyampaikan dakwah.

Mereka perlu turun ke medan perang, bersabung nyawa untuk memperluaskan syiar Islam di atas bumi ini, berbeza dengan kita yang mempunyai banyak pilihan.

Kita adalah umat terpilih yang Allah mudahkan jalan seluas-luasnya untuk ke syurga.

Cuma tinggal untuk memilih antara dua perkara, iaitu mahu atau tidak mahu.

- HARIAN METRO

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts