Selasa, Januari 31, 2012

Bapa risau anak hilang bersama BMW


KUALA LUMPUR 30 Jan. - Sejak 10 hari lalu, seorang pesara bank, Ismail Yunus, 56, tidak dapat tidur lena kerana terlalu bimbang tentang keselamatan anak lelakinya yang menghilangkan diri dari rumah mereka di Bukit Sentosa, Rawang dekat sini.

Pelbagai kemungkinan buruk terbayang di mata terutama apabila mengenangkan anaknya, Isyraq Ismail, 18, turut hilang bersama kereta jenis BMW miliknya.

Paling ditakuti jika kenderaan itu digunakan oleh anaknya bersama rakan-rakan untuk melakukan kegiatan jenayah.

Menurut Ismail, kali terakhir dia bertemu dengan Isyraq kira-kira pukul 11 malam pada 14 Januari lalu sebelum menyedari anaknya itu tiada di rumah pada pukul 1 pagi keesokannya.

"Isyraq merupakan anak keempat daripada lima beradik dan mempunyai seorang kembar seiras. Dia kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sementara menunggu keputusan peperiksaan, dia memaklumkan mahu mencari kerja bagi mengisi masa lapang dan saya tidak menghalang, malah tidak kisah jika dia tidak pulang ke rumah kerana menumpang tidur selama beberapa hari di rumah rakannya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Balai Polis Wangsa Maju di sini hari ini.

Ismail berkata, sebelum ini, dia tidak bimbang tentang keselamatan Isyraq jika tidak pulang ke rumah kerana anaknya itu akan membawa telefon bimbit bagi memudahkan keluarga menghubunginya.

Namun, katanya, sejak menghilangkan diri, Isyraq gagal dihubungi kerana tidak membawa telefon bimbit dan langsung tidak memaklumkan ke mana dia pergi kepada keluarga sebelum meninggalkan rumah.

Menurut Ismail, mereka sekeluarga tidak tahu punca Isyraq menghilangkan diri tanpa khabar berita kerana anaknya itu langsung tidak menunjukkan perubahan sikap yang mencurigakan atau berselisih faham dengan keluarga.

"Saya mengesyaki kereta tersebut dilarikan Isyraq bersama tiga rakan yang menghantarnya pulang ke rumah menaiki sebuah Proton Wira pada malam, 14 Januari lalu," katanya.

Ismail berkata, disebabkan bimbang tentang keselamatan anak remajanya itu, isterinya, Noriyah Ahmad kini tertekan sehingga tidak mampu membuka perniagaan butiknya sejak Isyraq hilang.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan polis dan berusaha mencari Isyraq termasuk di rumah seorang temannya yang biasa dia bermalam di RPR Desa Rejang, Setapak di sini, namun gagal menemui anaknya di situ.

"Sehubungan itu, saya minta jasa baik orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Isyraq atau kereta BMW saya yang berwarna perak bernombor pendaftaran WPG 5658 agar segera menghubungi saya di talian 012-6247474 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

- UTUSAN

2 ulasan:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts