Khamis, November 10, 2011

Bagaimana barang rampasan KPDNKK disita dan disimpan?


Oleh Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

KEDUDUKAN kompleks ini agak terpencil di kawasan perindustrian. Sekilas pandang, ia kelihatan seperti gudang-gudang atau kilang berdekatan.

Begitulah pandangan penulis sewaktu mengunjungi Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di satu lokasi yang dirahsiakan.

Kompleks yang mula beroperasi pada tahun 2004 itu bukan sesuatu yang baru kerana ia pernah diadakan tempat untuk sidang media berhubung barang rampasan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNKK.

Bagaimanapun menurut penyelia kompleks berkenaan, Mingguan mStar merupakan media pertama yang dibenarkan masuk ke dalam stor bersaiz gudang yang menyimpan pelbagai jenis barang rampasan itu.

Beliau yang tidak mahu identitinya didedahkan mempunyai pengalaman dalam bidang penguatkuasaan selama 30 tahun di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Kompleks yang berkeluasan empat hektar ini mempunyai empat bahagian yang terdiri daripada tiga stor dan pejabat pentadbiran.

Kapasiti setiap stor bergantung pada saiz dan jenis barangan yang dirampas. Jika diamati, stor bersaiz gudang ini menyamai saiz sebuah pasar raya besar.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin berkata, kompleks tersebut merupakan tempat penyimpanan terbesar bagi barang yang dirampas oleh bahagian penguatkuasa di kementerian itu.

“Terdapat pelbagai jenis barang rampasan namun sebahagian besar adalah barangan tiruan dan cetak rompak iaitu antara 75 peratus sehingga 80 peratus.

“Ini termasuk beberapa mesin mencetak video cakera padat (VCD) dan cakera video digital (DVD) serta mesin menghasilkan toner bagi katrij pencetak, masing-masing untuk penghasilan produk cetak rompak dan tiruan.

“Bagaimanapun, kita turut mempunyai stor penyimpanan barang rampasan lain di cawangan KPDNKK seluruh negara,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Salah satu stor mempunyai 17 rak gergasi setinggi lima aras yang memerlukan trak forklift untuk mengangkat muatan berat ke aras lebih tinggi.

Di satu sudut pula terdapat kawasan lapang yang menghimpunkan sebahagian besar barang rampasan diasingkan sementara untuk tujuan penyusunan.

Walaupun sekadar barang rampasan namun pengurusan penyimpanan dilakukan secara sistematik berikutan kesemuanya merupakan bahan bukti sesuatu kes.

Lebih muatan

Setiap penyimpanan di dalam kotak akan dilengkapi dengan keterangan terperinci meliputi nombor siri kes, nombor siri laporan polis, tarikh dan masa rampasan, nama pegawai penyiasat, nama pegawai serbuan serta alamat tempat rampasan.

Setiap rak pula mempunyai papan tanda yang menyenaraikan nombor siri kes sebagai rujukan kepada pegawai bertugas berhubung kedudukan barang itu disimpan.

Penyimpanan secara sistematik itu bertujuan untuk memudahkan proses penyiasatan dan pendakwaan selain tidak mahu menjejaskan keadaan barang rampasan.

Bukan semua disimpan di dalam gudang kerana terdapat ruang lain yang menempatkan rampasan bersaiz besar seperti lori, treler dan mesin cetak rompak.

Tong-tong petrol dan diesel yang dirampas turut disimpan kompleks ini secara berasingan sebagai jaminan keselamatan kerana mengandungi bahan api.

Selain itu, kompleks ini dilengkapi sebuah bilik kebal dengan kawalan keselamatan begitu tinggi bagi menyimpan barang rampasan berharga termasuk wang tunai.

Difahamkan, kompleks ini pernah berhadapan dengan isu lebih muatan awal tahun ini berikutan rampasan besar-besaran oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNKK.

Namun isunya bukan disebabkan oleh lebih muatan tetapi sebenarnya adalah lambakan barang rampasan terutama barangan tiruan dan cetak rompak.

Ini tidak termasuk lagi barangan berkenaan yang terus berleluasa dijual di pasaran berikutan masih ada permintaan di kalangan pengguna.

Bahagian Penguatkuasa KPDNKK pula tidak boleh melupuskan barang rampasan sewenang-wenangnya kerana masih dalam proses penyiasatan dan pendakwaan.

Terdapat kes yang memakan masa dan ada kes yang terbengkalai, semuanya berpunca daripada sikap segelintir pemilik jenama yang enggan memberi kerjasama.

Ironinya, Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa KPDNKK terus dilambakkan dengan barang rampasan yang menjadi persoalan mengenai bila isu barangan cetak rompak dan tiruan akan berakhir atau setidak-tidaknya berkurangan.

- MSTAR
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts