Selasa, Ogos 02, 2011

BlackBerry Playbook


SELEPAS fenomena telefon bimbit pintar BlackBerry melanda negara, syarikat elektronik itu memperkenalkan pula peranti komputer tablet BlackBerry Playbook.

Ia dibawakan secara rasmi ke Malaysia oleh penyedia perkhidmatan integrasi komunikasi, Maxis Berhad (Maxis) menerusi tawaran pakej eksklusif.

BlackBerry Playbook tampil bersama kelebihan operasi berprestasi tinggi menawarkan pengguna kelebihan pengalaman pengkomputeran mobiliti unik dan berkuasa.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Maxis, Jean Pascal Van Overbeke, Maxis sentiasa berusaha membawa penggunanya menikmati pengalaman komunikasi masa depan secara konsisten.

"Kita telah membangunkan ekosistem telekomunikasi yang bersesuaian seperti peranti dan pelan data menarik, liputan rangkaian serta perkhidmatan pelanggan terbaik bagi melengkapkan keperluan pengguna.

"Kita berbangga kerana menjadi yang pertama membawa peranti berteknologi tinggi ini kepada rakyat Malaysia untuk membantu mereka melancarkan operasi kerja dan personal,'' katanya pada majlis pelancaran BlackBerry Playbook di Kuala Lumpur baru-baru ini.

BlackBerry Playbook merupakan gajet komputer tablet pertama dunia yang dipacu oleh pemproses berkembar.

Kelebihan itu membolehkannya melaksanakan pelbagai operasi secara serentak selain disokong spesifikasi multimedia berkualiti serta pelayaran web tanpa kompromi.

Untuk keselesaan paparan pula, peranti itu hadir bersama skrin LCD sentuhan pelbagai WSGVA tujuh inci beresolusi 1024 x 600.

Dengan ketebalan hanya 10 milimeter (mm) dan berat 425 gram (g) menjadikannya mudah untuk dibawa dan digunakan secara mudah alih.

Gajet berkenaan disokong oleh sistem operasi QNX yang mesra pengguna dengan binaan RAM satu megabit (MB) selain pilihan memori binaan dalam berkapasiti 16, 32 dan 64 gigabit (GB).

Melihat keupayaan multimedianya, gajet itu menyokong permainan video beresolusi tinggi (HD) 1080p, mempunyai output HDMI serta kamera belakang lima megapiksel dan hadapan tiga megapiksel.

Sesuatu yang menarik, BlackBerry Playbook boleh diintegrasi bersama telefon bimbit pintar BlackBerry untuk mengakses kandungan data seperti emel, BlackBerry Messenger (BBM), kontak dan sebagainya menerusi capaian Bluetooth dengan kadar sekuriti yang tinggi.

Maxis kini menawarkan BlackBerry Playbook pada harga pasaran RM1,599 untuk 16GB, RM1,899 (32GB) dan RM2,199 (64GB).

Bagi pengguna yang telah mempunyai pelan Perkhidmatan Internet BlackBerry (BIS) daripada Maxis pula, mereka berpeluang mendapatkan BlackBerryPlaybook dengan hanya RM990 apabila melanggan pelan data 3GB.

Maklumat lanjut mengenai peranti dan tawaran pakej Maxis, sila layari laman web www.maxis.com.my/playbook


- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.