Rabu, Julai 06, 2011

IKIM.fm setanding stesen lain

TAHUN 2011 adalah tahun penuh bergaya bagi warga Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Pada tahun ini sahaja, pelbagai peristiwa bersejarah lagi bermakna berlaku sepanjang 19 tahun kewujudannya.

Tambah-tambah lagi pada tarikh 6 Julai, stesen radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-10.

Malah jauh sebelum itu, IKIMfm menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai radio Islam pertama yang menggunakan teknologi digital sepenuhnya (First Fully Digital Islamic Based Radio Station).

Kejayaan demi kejayaan yang diraih ini bukan sekadar omong kosong dan terhenti setakat itu sahaja.

Pada Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan awal Jun lalu di Masjid Negara, IKIMfm diisytiharkan pemenang Anugerah Inovasi Islam bagi kategori Inovasi Perkhidmatan Agensi Agama Islam. Anugerah ini disandarkan kepada usahanya menyediakan perkhidmatan radio dalam talian (Internet streaming radio) yang beroperasi 24 jam sehari dan didengari sehingga 100 negara di seluruh dunia. Ia dilancarkan dengan rasminya pada 27 Januari 2011.

Menurut Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, radio Institut Kefahaman Islam Malaysia atau lebih dikenali sebagai IKIMfm dilancarkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed, pada 6 Julai 2001.

Sejak awal lagi IKIMfm merupakan radio Islami yang satu-satunya beroperasi selama 24 jam, tujuh hari seminggu.

Pada asalnya, ramai kalangan penyelidik di IKIM yang menyumbang secara kerap di saluran radio Suara Islam terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Penerangan pada waktu itu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat merasakan sudah sampai waktunya IKIM perlu ada radio mereka sendiri, kata Nik Mustapha.

Lantas mencadangkan kepada kerajaan agar IKIM diberi lesen mempunyai stesen radio Islam sendiri dan ia telah disokong oleh Dr. Mahathir.

Bermula dari situlah lesen dikeluarkan dan pada 6 Julai itulah tarikh keramat bagi warga IKIM kerana secara rasminya radio IKIMfm dilancarkan dengan tagline, 'Pilihan Utama Anda'.

Menurut Nik Mustapha, perlu difahami bahawa IKIM adalah institusi penyelidikan yang diwujudkan oleh kerajaan pada tahun 1992 untuk meningkatkan kefahaman semoga Islam dapat difahami sebagai agama menyusun kehidupan individu dan masyarakat sehingga wujudnya sebuah peradaban manusia yang mulia.

Justeru, radio IKIMfm adalah satu mekanisme untuk menyampaikan kefahaman tersebut. Sebab itulah tumpuan radio IKIMfm, berkonsep lebih kepada pendidikan yang bertujuan menyampaikan kefahaman Islam dan ini mewakili 70 peratus.

"Sementara 20 peratus penyampaian maklumat dan selebihnya adalah program Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris," tambah Nik Mustapha.

Sementara itu, Pengarah Radio IKIMfm, Nik Roskiman Abdul Samad berkata, kini, para pengguna iPhone juga boleh memuat turun secara percuma aplikasi mendengar IKIMfm yang boleh didapati di App Store.

Selain itu, kemudahan muat turun pelbagai program menarik yang bersiaran di IKIMfm melalui laman web IKIMfm di http://ikimfm.my juga merupakan inovasi dalam penyampaian dakwah Islam.

"Kita juga dalam proses membangunkan servis podcasting (penyiaran dalam talian) untuk membolehkan pendengar melanggan terus program yang diminati dan berkualiti di IKIMfm untuk dimuat turun secara automatik ke dalam media elektronik masing-masing," katanya dalam wawancara khas di pejabatnya, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah katanya, kemudahan ini dilihat sebagai suatu inovasi dalam penyampaian dakwah Islami yang membolehkan mesej Islam didengar seramai mungkin pendengar.

"Dalam usaha untuk terus relevan dan mampu bersaing dengan radio-radio swasta lain pewujudan laman web sosial Facebook IKIMfm menepati masa dan sasarannya iaitu untuk lebih mendekati golongan generasi muda hari ini.

"Kini Facebook IKIMfm sudah diminati oleh lebih 20,000 orang manakala Facebook Warna Pagi IKIMfm pula lebih 15,000 pendengar.

"Di samping itu, kita juga bergerak secara On Ground iaitu dengan turun padang bertemu dengan para peminat. Kalau boleh saya namakan sesetengah tempat yang pernah penyampai IKIMfm pergi seperti Sungai Petani, Alor Setar, Johor Bahru, Shah Alam, dan akan ke Terengganu, Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Pada program Karnival Mahabbah IKIMfm di Bandar Dato' Onn di Johor Bahru, ia berjaya menarik 40,000 pengunjung.

Hakikatnya ujar Nik Roskiman, pihaknya sentiasa membuat penambahbaikan dalam segi persembahan para penyampai dan kualiti serta isi kandungan program-program yang ke udara daripada semasa ke semasa.

Ia dilakukan menerusi satu jawatankuasa penasihat yang dianggotai oleh pakar-pakar profesional sama ada melalui Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Radio, Mesyuarat Pengisian dan Pelaksanaan Program Radio, Kajiselidik syarikat Nielsen dan maklum balas lain. Yang pastinya, kata beliau, penambahbaikan ini adalah satu budaya dan ia dilakukan secara berterusan di IKIMfm.

"Alhamdulillah, IKIMfm terus memperbaiki kedudukannya (ranking) berdasarkan kajian Nielsen Wave 1/2011 apabila meraih 852,000 pendengar berbanding 786,000 pendengar sebelum ini.

"Bagaimanapun, pendengar sebenar IKIMfm dijangka melebihi anggaran tersebut kerana ia tidak mengambil kira pendengar dari Sabah, Sarawak, Singapura, Batam, Indonesia, Selatan Thailand dan juga mereka yang mendengar secara dalam talian di seluruh dunia.

"Secara keseluruhannya, kedudukan IKIMfm melonjak daripada tangga ke-13 ke tangga ke-11 daripada 34 stesen radio yang sedia ada di tanah air. Dalam kategori stesen radio saluran Bahasa Melayu pula, IKIMfm menduduki tangga ketujuh," jelasnya.

Lebih membanggakan kata Nik Roskiman, para pendengar IKIMfm adalah mereka yang sangat setia.

Mereka terdiri daripada pelbagai profil pendengar seperti; golongan belia, remaja, yang berpendapatan sederhana dan golongan profesional serta eksekutif.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts