Sabtu, Mei 21, 2011

Kekuatan keimanan, perpaduan umat

Oleh DR. SAODAH ABD RAHMAN
Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Perpecahan umat Islam akibat perbezaan ideologi politik adalah antara faktor utama yang mendorong umat Islam menjadi semakin lemah kerana perjuangan politik lebih menjurus kepada perebutan kuasa daripada mempertahankan prinsip perjuangan politik yang berteraskan kepada pengukuhan agama Islam. Ini adalah realiti yang wujud dalam masyarakat Islam masa kini.

Perjuangan politik jika tidak berlandaskan kepada objektif mempertahankan kewibawaan agama dan umat maka ia akan menyebabkan parti politik umat Islam terpesong daripada garis panduan berpolitik dalam Islam.

Keadaan umat Islam yang dilanda dengan pelbagai permasalahan sama ada sosial, ekonomi dan politik jika tidak ditangani secara serius boleh menyebabkan umat Islam berada dalam persimpangan di mana akhirnya kewibawaan agama, bangsa dan negara tercabar.

Jika Islam adalah perjuangan politik maka persoalannya ialah kenapa umat Islam berpecah sehingga ke tahap yang boleh menggoncangkan kewibawaan agama Islam. Konsep persaudaraan sesama Islam terkubur sehingga ke tahap yang boleh menimbulkan kemurkaan Allah.

Jika Islam dijadikan slogan dalam perjuangan maka usah mengaburkan pandangan masyarakat dengan sikap yang terlalu bergantung kepada kekuatan orang lain sebagai cara untuk mendapat kuasa kerana harapan dan sikap demikian boleh menggugat kewibawaan Islam.

Umat Islam diajar bagaimana hendak menghadapi rintangan dan cabaran bagi menyemarakkan syiar Islam sehingga sanggup menggadaikan nyawa dan harta benda. Kerohanian yang tinggi atau mutma'innah bukan hanya berdasarkan kepada kepetahan berbicara dalam urusan keagamaan tetapi ia bergantung kepada cara umat Islam berfikir dan bertindak.

Pemikiran yang bernas dan tindakan yang bijaksana adalah asas utama bagi memperkukuhkan kekuatan dan kewibawaan Islam. Kekurangan dalam aspek ini adalah akibat daripada kurang prihatin terhadap aspek kerohanian dan kurang memahami objektif kehidupan.

Ketandusan kerohanian mengakibatkan umat Islam berebut kuasa dan kebendaan secara membuta tuli tanpa memahami erti kekuasaan dan kebahagiaan yang hakiki. Hasilnya, para pemimpin parti politik tidak boleh bersatu padu dalam aspek kebaikan ummah kerana masing-masing ingin memiliki kuasa.

Perasaan demikian wujud kerana salah faham erti 'kuasa'. Ramai umat Islam memahami bahawa 'kuasa' ialah satu cara untuk memiliki kuasa yang boleh mengaut sebanyak mungkin peluang untuk memperkayakan diri tanpa menghiraukan hukum halal dan haram.

Ini adalah dilema yang melanda umat Islam masa kini. Kerohanian yang tinggi merupakan asas kekuatan Islam yang sukar digugat oleh pihak-pihak tertentu. Jika pemikiran dan jiwa umat Islam berlandaskan hukum-hakam Allah dan Rasul SAW, kenapa melakukan sesuatu yang boleh memusnahkan kewibawaan agama dan umat.

Seruan bersatu padu sesama umat, konsep persaudaraan sesama Islam, peringatan mengenai musuh dan sahabat kepada umat Islam jelas disebut di dalam al-Quran dan hadis, kenapa para pemimpin politik dan umat Islam masih mengingkari seruan ini.
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts