Jumaat, Mei 06, 2011

7,000 diserap buat tugas hakiki polis

Lebih 7,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sudah diserapkan ke dalam tugas hakiki polis berikutan langkah mengurangkan jumlah pegawai serta anggota polis melakukan tugas perkhidmatan awam.

Berikutan itu, tugas berkenaan sekarang diambil alih kakitangan perkhidmatan tadbir dan awam PDRM, sekali gus membolehkan anggota dan pegawai polis memberi tumpuan terhadap tugas hakiki sebagai pendukung serta pelaksana penguatkuasaan undang-undang.

Langkah yang sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu itu memperkukuh PDRM dalam melaksanakan tugas memelihara keamanan dan ketenteraman awam sejajar usaha mendekatkan PDRM dengan anggota masyarakat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar, bagaimanapun, menjelaskan tiada jangka waktu ditetapkan untuk penyerapan tugas berkenaan, sebaliknya akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran tugas dalam sektor itu.

“Sudah ramai pegawai dan anggota beruniform dalam pasukan polis dikeluarkan daripada tugas perkhidmatan awam seperti perkeranian untuk diletakkan dalam tugas hakiki polis. Sekarang ada kira-kira 12,000 pegawai awam dalam PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Khas Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Hari Polis Ke-204 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Kota Kinabalu semalam.

Beliau turut melancarkan Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Polis Sabah (SPACSU). Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Perhimpunan tiga hari yang berakhir semalam itu bertujuan membincangkan hala tuju dan kebajikan pegawai awam dalam perkhidmatan PDRM. Ia dihadiri kira-kira 500 pegawai terbabit dari seluruh negara.

Terdahulu, ketika berucap, Khalid mengingatkan kakitangan perkhidmatan tadbir dan awam PDRM supaya meningkatkan ilmu, terutama aspek berkaitan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) sejajar usaha memajukan sistem penyampaian dalam sektor awam.

Katanya, setiap kakitangan perkhidmatan tadbir dan awam PDRM harus meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menghayati makna profesional kerana ia adalah teras perkhidmatan.

“Profesional bermaksud bagaimana anda melakukan kerja. Setiap kakitangan dan pegawai awam dalam pasukan polis juga harus berdisiplin dan bersaing secara sihat dalam perkhidmatan,” katanya.

Beliau turut meminta mereka supaya membantu usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam.

- BERITA HARIAN
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts