Jumaat, Mac 25, 2011

Unit Amanah - Hak waris pelabur unit amanah tidak diabaikan

Sepintas lalu, masyarakat umum mungkin tidak sedar industri unit amanah sudah wujud di Malaysia sejak 1959 apabila konsep unit amanah diperkenalkan oleh Malayan Unit Trust Ltd. AmanahRaya bertindak sebagai pemegang amanah bagi tabung unit amanah pada 1966.
Industri unit amanah berkembang pesat seiring perkembangan pasaran saham negara. Industri ini menyumbang sekitar 19 peratus nilai aset bersih dalam pasaran modal negara.

Di Malaysia terdapat lebih 30 syarikat pengurusan unit amanah. Secara ringkasnya unit amanah akan melabur dalam kelas pelaburan bentuk tunai seperti simpanan tetap, pasaran wang; saham; bon; hartanah; komoditi dan sebagainya.

Dalam industri unit amanah, penting bagi pelabur melihat objektif sesuatu tabung unit amanah yang ada di pasaran. Ada beberapa jenis tabung yang diuruskan syarikat pengurusan unit amanah profesional antaranya Equity Fund; Fixed Income Fund; Money Market Fund; Real Estate Investment Trust (REITs); Exchange Traded Fund; Balanced Fund dan Syariah Fund.

Setiap jenis tabung unit amanah mempunyai objektif berbeza. Sebagai pelabur, maklumat berkenaan penting bagi menilai risiko pelaburan sebelum melabur. Maklumat boleh diperoleh dalam prospektus tabung.
Persoalannya adakah kita membaca prospektus sebelum membuat pelaburan? Kita tahu atau tidak ke mana wang dilaburkan? Atau kita melabur ikut kawan-kawan, yang penting untung. Ini bergantung atas penilaian pelabur itu sendiri.

Bagi AmanahRaya, apabila dilantik sebagai pemegang amanah, kami akan melaksanakan tugas mengikut peruntukan dalam surat ikatan yang ditandatangani dengan syarikat pengurusan unit amanah.

Industri unit amanah negara berkembang lebih pesat lagi dengan liberalisasi pelaburan luar negara oleh pihak berkuasa. Syarikat pengurusan unit amanah dana aktif mewujudkan tabung yang mana fokus pelaburannya adalah di luar negara.

Seiring perkembangan positif ini, AmanahRaya perlu menyiapkan diri dari segi keupayaan sistem ‘back office’ bagi memberi perkhidmatan terbaik dan cemerlang sebagai pemegang amanah. Pada masa sama meningkatkan profesionalisme sumber manusia.

AmanahRaya turut melantik beberapa bank asing sebagai rakan strategik dan melalui cara ini AmanahRaya boleh menggunakan sistem mereka untuk tujuan menyimpan dan memegang aset pelaburan luar negara di samping membuat penyelesaian urus niaga.

Pembaca mungkin berminat untuk mengetahui peruntukan undang-undang yang terpakai. Di samping surat ikatan dan prospektus, tanggungjawab dan tugas statutori AmanahRaya sebagai pemegang amanah tertakluk kepada Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Seksyen 288 dan 289 Akta 671 memperuntukkan pelantikan pemegang amanah yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti bagi sesuatu tabung unit amanah, manakala Seksyen 290 menyatakan keperluan mesti dipenuhi sebelum sesuatu pihak layak dilantik sebagai pemegang amanah.

Seksyen 300 menyenaraikan tugas pemegang amanah. Dalam konteks ini, AmanahRaya sentiasa memastikan peruntukan undang-undang sebelum bertindak sebagai pemegang amanah bagi tabung unit amanah.
Selain itu, tugas tambahan pemegang amanah merangkumi perkara seperti di bawah:
  • Menjalankan usaha ketekunan wajar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab selaras surat ikatan, CMSA, garis panduan Suruhanjaya Sekuriti dan lain-lain undang-undang sekuriti yang diguna pakai.
  • Mengawal selia pelaburan yang dibenarkan dalam memastikan syarikat pengurusan unit amanah menguruskan dana mengikut peruntukan surat ikatan, CMSA, Garis panduan Suruhanjaya Sekuriti dan lain-lain undang-undang sekuriti yang diguna pakai.
  • Memastikan rekod berkaitan semua transaksi, dividen, pendapatan yang diagihkan kepada pemegang unit diselenggarakan dengan teratur.
  • Memastikan syarikat pengurusan unit amanah memaklumkan butiran mengenai polisi pelaburan dan sebarang perubahan berkaitan dengannya.
  • Memastikan akaun diaudit di akhir tempoh kewangan dan memastikan setiap pemegang unit menerima salinan akaun yang diaudit dalam tempoh dua bulan selepas tamat tempoh kewangan.
  • Kuasa untuk melantik juruaudit, ejen cukai dan penasihat undang-undang untuk tabung unit amanah.
  • Kuasa untuk memanggil mesyuarat sekiranya syarikat pengurusan unit amanah gagal membetulkan ketidakpatuhan berhubung peruntukan dalam surat ikatan, CMSA dan lain-lain undang-undang sekuriti.
  • Kuasa untuk menggulung sesuatu skim unit amanah.


Perkembangan pesat dalam industri unit amanah secara tidak langsung memberi cabaran kepada AmanahRaya. Antaranya, nilai tambah yang selalu diharapkan pelanggan adalah pengurusan risiko seperti risiko operasi, kewangan, pematuhan dan reputasi.

Bagi unit amanah dimiliki secara akaun bersama, apabila berlaku kematian, secara langsung pemegang bersama yang masih hidup adalah orang berhak. Maka dalam kes seperti ini, pelabur perlu merujuk kepada syarikat pengurusan unit amanah berkenaan tujuan pindah milik atau urusan lain.

Walau bagaimanapun, bagi kes pelabur yang tidak membabitkan akaun bersama dan apabila berlaku kematian, berdasarkan peruntukan surat ikatan, surat kuasa mentadbir diperlukan bagi membolehkan unit dipindahmilik kepada waris.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts