Sabtu, November 06, 2010

U Mobile Broadband - Mudah, pantas dan jimat


Perkembangan teknologi jalur lebar yang berdaya maju menyaksikan lebih ramai pengguna dapat melayari Internet di hujung jari. Pengguna bukan sahaja mengggunakan Internet untuk memperoleh maklumat bahkan menjadikannya sebagai platform menghantar dan menerima data-data tanpa wayar dengan mudah, pantas dan menjimatkan.

Menyedari permintaan yang semakin meningkat dalam segmen tersebut, U-Mobile Sdn. Bhd. memperkenalkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi 42 megabit sesaat (Mb/s) kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee berkata, perkhidmatan terbaru itu membolehkan pengguna menikmati kelancaran muat turun perpindahan fail dan video berkualiti.

"U-Mobile akan menggunakan sambungan HSPA+ (Akses Paket Berkelajuan Tinggi) sel berkembar yang membolehkan rangkaian menghantar dan menerima data tanpa wayar dengan menggunakan dua saluran serentak bagi mencapai kelajuan muat turun hingga 42Mb/s.

"Titik sambungan pertama ialah di pusat beli-belah Berjaya Times Square (BTS), diikuti penyediaan perkhidmatan secara komersial di Lembah Kelang, bermula di Subang Jaya dan kawasan Sunway dan Pulau Pinang serta Johor menjelang akhir tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi 42Mb/s U-Mobile Sdn. Bhd. di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Hadir sama ialah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Khalid Ramli dan Pengerusi U-Mobile, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun.

Kaizad menambah, gabungan bersama Singapore Technologies Telemedia (STT) membolehkan U-Mobile mengalami transformasi sebagai satu syarikat yang mampu bersaing di Malaysia.

"Dengan sokongan mereka, kami yakin dapat menawarkan lebih banyak perkhidmatan dan produk serta kos berkesan secara agresif," katanya.

Sementara itu, Rais berkata, kementeriannya beriltizam untuk meluaskan sambungan Internet di negara ini, khususnya di kampung-kampung dengan penyertaan sektor swasta.

"Perkhidmatan U-Mobile menawarkan kelajuan sambungan dalam talian hingga 42Mb/s dan ini merupakan jalur lebar terpantas di Malaysia setakat ini, selaras dengan agenda kerajaan untuk menambah baik capaian jalur lebar.

"Berdasarkan kajian kebelakangan ini, terdapat 17 juta pengguna di Malaysia atau 65 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk. Setiap tahun, kita menyaksikan peningkatan antara satu hingga dua juta pengguna Internet," katanya.

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts