Jumaat, Ogos 20, 2010

Tinjauan Blog - Ekonomi Malaysia, Hari Kemerdekaan dan JPJ

Situasi ekonomi negara yang semakin pulih dan berkembang baik mendapat ulasan beberapa penulis blog.

Manakala beberapa penulis lain menyentuh mengenai isu-isu berkaitan sambutan Hari Kemerdekaan serta pendekatan baru Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menangani situasi di jalan raya.

Shamsul Yunus dalam Marahku (marahku.blogspot.com) berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan prestasi ekonomi yang telah pulih berdasarkan petunjuk setiap tiga suku tahun dengan dua daripadanya menunjukkan pertumbuhan yang baik

Malangnya, sebahagian rakyat di negara ini masih tidak pasti sama ada ia membawa berita positif kerana bukti ekonomi sedang tumbuh tidak kelihatan di peringkat bawah.

"BNM kata alasan rakyat tidak merasai perubahan ini kerana ekonomi sekarang baru cuba untuk mendapatkan semula apa yang hilang sebelum ini, terutama bagi golongan pekerja.

"Saya mengaku, seorang yang kerdil seperti saya mengalami kesukaran pada separuh tempoh ini dan (berharap) suku ketiga menunjukkan peningkatan yang lebih besar," katanya.

Reme Ahmad (remgold.blogspot.com) pula berkata, laporan bahawa ekonomi Malaysia pada suku pertama berkembang 10.1 peratus dan suku kedua pula 8.9 peratus menunjukkan perkembangan yang menakjubkan ketika banyak negara di Eropah mengalami kejatuhan ekonomi.

Katanya, berdasarkan laporan BNM, sektor-sektor perkilangan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian juga membawa khabar yang baik bagi negara ini.

"Harapan besar saya adalah apabila pembangkang menilai angka-angka ekonomi Malaysia ini, mereka tidak akan terus mengecam dan memaki hamun. Sesekali, jadilah pembangkang yang memberi harapan kepada rakyat bahawa ekonomi Malaysia ini baik.

"Memang ada banyak lagi boleh diperbaiki, tetapi kita bersyukur bahawa kita terus sihat pada masa ekonomi negara Eropah seperti Greece, Portugal, Sepanyol dan Itali lemah. Dan ekonomi AS pun mungkin terus lemah," kata penulis Singapura ini.

Katanya, jika sesekali semua pihak iaitu pembangkang dan kerajaan dapat bersatu padu, ia sudah pasti dapat menyejukkan hati rakyat dan memberikan kebanggaan kepada semua.

Sementara itu, Zukri Valentino dalam Utarawan (utarawan.blogspot.com) mempersoalkan istilah sambutan Hari Kemerdekaan yang diguna pakai sekarang ini berbanding Hari Kebangsaan sebelum ini.

Katanya, sambutan Hari Kemerdekaan sepatutnya diraikan pada hari pertama kita diisytiharkan merdeka iaitu pada 31 Ogos 1957, manakala sambutan yang meraikannya setiap tahun dinamakan Hari Kebangsaan.

Tambah beliau, banyak negara yang baru mencapai kemerdekaan seperti India, Pakistan dan Singapura atau Indonesia yang lebih awal merdeka menyambut Hari Kebangsaan.

"Hanya Amerika Syarikat yang menyambut Hari Kemerdekaan pada 4 Julai setiap tahun, yang dinamakan sebagai Independence Day.

"Ternyata ada perbezaan antara Hari Kebangsaan (National Day) dan Hari Kemerdekaan (Independence Day)," katanya.

Jika benar sambutan Hari Kebangsaan telah digantikan dengan Hari Kemerdekaan, penulis ini ingin tahu bilakah keputusan itu dibuat dan siapa pula yang mengarahkannya.

Ibrahim Yahya dalam Dunia Tiger (duniatiger.blogspot.com) pula menyentuh mengenai semangat patriotik dalam kalangan pemilik syarikat di negara ini yang tidak begitu mengambil berat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis perniagaan masing-masing sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini.

Katanya, masih banyak bangunan besar terutama di bandar-bandar utama termasuk Kuala Lumpur masih tidak memasang Jalur Gemilang di bangunan mereka, sedangkan sambutan bulan kemerdekaan sudah berlangsung lebih tiga minggu.

"Tidak cukup duit ke hendak membeli bendera? Kalau tidak cukup duit, mintalah ke bank-bank di negara ini agar mereka boleh beri pinjaman. Kalau tidak mahu buat yang besar-besar, yang sederhana pun cukuplah.

"Ikutlah contoh pelbagai syarikat yang sudah siang-siang lagi memasang bendera besar di bangunan mereka seperti Pos Malaysia dan MRCB. Apakah peneraju utama syarikat-syarikat seperti ini mempunyai semangat cintakan negara lebih membara daripada pemimpin syarikat yang malas untuk memasang bendera?

"Atau pun pemimpin syarikat yang malas itu tidak peduli dengan kemerdekaan negara? Marilah kita kenal pasti pemimpin syarikat yang masih malas dan berdegil untuk mengibarkan bendera di bangunan mereka. Siapa mereka? Bangunan mana?" katanya.

Manakala Salleh Saad dalam Pandangan Orang Kampung (sallehsaad.blogspot.com) pula memuji pihak JPJ yang mengambil pendekatan baru dengan membuat rondaan dan pemantauan di lokasi terpilih berbanding mengadakan sekatan jalan raya.

"Saya rasa inilah satu pendekatan perhubungan awam terbaik dan bijaksana. Ini kerana ia dapat mengelak kesesakan lalu lintas... setiap kali berlaku kesesakan ia menyusahkan orang ramai.

"Sekiranya ada gangguan yang sengaja dicipta (sekatan jalan raya), sudah pasti ia mengancam ketenangan emosi dan minda," katanya.

Kelolaan LUKMAN ISMAIL

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts