Sabtu, Ogos 28, 2010

Protes Terhadap Malaysia: Tindakan Indonesia Terlalu Garang - Tun Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tidak salah Malaysia menyatakan protes terhadap tindakan sekumpulan rakyat Indonesia yang menghina Jalur Gemilang di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta baru-baru ini.

Sambil menyifatkan penunjuk perasaan itu sebagai garang, mantan Perdana Menteri itu berkata mereka merupakan kumpulan kecil yang diupah untuk melakukan perkara tersebut.

"Kita boleh protes tapi tak payah buat macam mereka buat. Mereka terlalu garang. Kita tidak buat macam itu," katanya kepada wartawan selepas melancarkan kempen derma Viva Palestina Malaysia (VPM) di Masjid Negara di sini, pada Jumaat.

Bagaimanapun, katanya, Indonesia masih merupakan sahabat kepada Malaysia.

Tindakan melampau penunjuk perasaan itu yang membakar serta meludah Jalur Gemilang serta melempar najis di kedutaan Malaysia, kononnya marah terhadap Malaysia yang mereka dakwa tidak menghormati Indonesia.

Provokasi itu dipercayai berpunca daripada maklumat tidak tepat yang dilaporkan di republik tersebut berhubung peristiwa penahanan nelayan Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia dan penahanan tiga pegawai republik itu oleh polis marin Malaysia di perairan berhampiran Penggerang, Johor pada 13 Ogos lepas.

Pelbagai kalangan di Malaysia memandang serius kejadian menghina Jalur Gemilang dan meminta pihak berkuasa Indonesia mengambil tindakan mengawal keadaan itu.

Menyentuh perkara lain, Dr Mahathir berkata beliau akan terus memberikan pendapatnya terhadap isu-isu semasa negara tetapi ia terpulang kepada mereka yang terlibat sama ada untuk mendengar atau tidak.

Beliau menolak dakwaan kononnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah menghalang pertumbuhan negara.

"Negara ini telah mengalami pertumbuhan jauh lebih cepat daripada negara membangun lain, jadi tidak boleh kata yang DEB satu halangan," katanya.

- BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts