Khamis, Ogos 26, 2010

Institusi Islam boleh guna urus niaga hadapan mata wang asing

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk membenarkan institusi kewangan Islam menggunakan urus niaga hadapan mata wang asing untuk tujuan lindung nilai berasaskan 'wa'd' (janji) yang mengikat pihak pemberi janji itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang bentuk balasan (yuran) dibenarkan untuk dikenakan ke atas pihak yang menerima janji, dengan mengambil pandangan bahawa pembiayaan tunai awal untuk urus niaga hadapan mata wang akan membawa kepada janji dua pihak yang tidak dibenarkan syarak, kata BNM dalam kenyataannya di sini hari ini.

Bank Pusat itu berkata, langkah tersebut adalah selari dengan pendapat majoriti ulama yang berpandangan bahawa wa'd satu pihak tanpa sebarang bentuk balasan dibenarkan dalam urus niaga hadapan mata wang.

BNM berkata, keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat majlis kali ke-102 yang berlangsung pada 22 Jun lepas.

Pada mesyuarat itu, MPS juga membuat keputusan bahawa bayaran manfaat takaful daripada dana risiko peserta (dana yang mengumpul 'tabarru' (sumbangan) untuk membayar tuntutan peserta), boleh dilakukan.

BNM berkata, ia bagaimanapun tertakluk kepada peristiwa khusus, yang bukan sahaja terhasil daripada kerugian kewangan yang ditetapkan atau musibah, dibenarkan, dengan syarat ia dipersetujui oleh pihak yang berkontrak iaitu peserta takaful.

Keputusan itu dibuat selari dengan ciri-ciri kontrak takaful yang dimeterai berasaskan konsep 'tabarru' dan 'ta'awuni' di kalangan peserta.

BNM berkata, kedua-dua konsep itu membolehkan para peserta bersetuju terhadap peristiwa yang membolehkan manfaat takaful dibayar.

Terma dan syarat yang menggariskan peristiwa tersebut mestilah dinyatakan dengan jelas kepada semua pihak berkontrak dengan takaful, katanya.

Oleh itu, BNM berkata, dengan persetujuan semua peserta skop pembayaran manfaat takaful daripada dana risiko peserta tidak terbatas kepada kematian, kecacatan atau musibah semata-mata, malah boleh diperluas untuk memenuhi mandat-mandat yang dipersetujui dalam kontrak.

Ciri-ciri produk takaful juga hendaklah selari dengan prinsip syariah dan memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts