Rabu, Ogos 25, 2010

Contohi semangat Qobin

PUTRAJAYA 24 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pencapaian luar biasa Muhamad Muqharabbin Mokhtarudin atau Qobin boleh menyuntik semangat generasi muda negara tentang keperluan tidak kenal erti kalah dalam mendepani apa jua cabaran mendatang.

Qobin, 28, yang akan meneruskan sebahagian lagi misinya mendaki keseluruhan tujuh puncak di tujuh benua dianggap Perdana Menteri mewakili jiwa anak muda yang memiliki iltizam tinggi, kecergasan akal dan jiwa perkasa untuk mencapai kejayaan yang kadang-kala mustahil untuk dikecapi.

Selaku Penaung Kehormat 'Cabaran 7 Puncak 7 Benua 7 Nilai' diketuai Qobin, beliau percaya ekspedisi yang akan diteruskan itu akan menjadi satu peninggalan yang amat bermakna dalam lipatan sejarah dan generasi muda negara.

''Bila disebutkan nama-nama tadi (nama-nama gunung didaki Qobin), saya sudah berasa seruh (kecut), macam mana manusia boleh mendaki tujuh puncak di tujuh benua.

''Apa yang dilakukannya mendasari nilai-nilai sejati seperti tidak mengenal erti kalah. Itulah kisahnya yang saya harap menjadi legasi daripada ekspedisinya.

''Saya berdoa semoga usaha Qobin ini dapat diteruskan dan menjadi peninggalan sejarah yang amat bermakna lebih-lebih lagi kepada generasi muda hari ini dan akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis penghargaan penaja Projek '7 Puncak 7 Benua 7 Nilai' dan penyerahan nombor plat Gagasan 1Malaysia (G1M) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Setelah menamatkan pendakian ke Everest (gunung tertinggi di dunia) pada 2004, Gunung Kosciousko di benua Australasia pada 2005 dan Gunung Kilimanjaro di benua Afrika pada awal Ogos lalu, Qobin kini akan meneruskan pendakian di empat benua lain.

Keempat-empatnya adalah Gunung Elbrus, Rusia (benua Eropah) pada hujung bulan ini, Gunung Aconcagua, Argentina di benua Amerika Selatan pada Disember ini, Gunung Vinson Massif pada Januari 2011, Gunung Carstzen Pyramid (Februari 2011) dan Gunung McKinley, Amerika Utara pada Mei tahun depan.

''Memang pembangunan fizikal juga tidak kurang penting tetapi apa yang lebih besar dan lebih bermakna adalah adanya manusia dan warga Malaysia yang mempunyai iltizam tinggi dan semangat perkasa untuk mencapai kejayaan demi kejayaan," kata Perdana Menteri.

Beliau turut difahamkan bahawa Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia akan menyumbangkan sebanyak RM100,000 kepada Yayasan Kebajikan Atlet Negara, Yayasan Harapan Negara (RM75,000) dan Yayasan Basmi Kemiskinan (RM25,000).

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts