24,000 tentera kawal sempadan sempena raya


Seramai 24,000 anggota tentera daripada tiga batalion Rejimen Sempadan akan bertugas sepanjang musim perayaan bagi menjaga sepanjang 547 kilometer kawasan sempadan di negara ini.

Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud berkata, kawalan sepenuh masa itu membabitkan semua kawasan sempadan Thailand membabitkan Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Menurutnya, kawalan akan diperketatkan bagi mencegah kegiatan penyeludupan yang dijangka meningkat menjelang musim perayaan.

“Di sini (Kelantan) kegiatan penyeludupan lebih tertumpu kepada barang-barang kawalan keperluan harian terutama yang bersubsidi seperti gula, minyak masak dan minyak petrol yang mendapat pasaran tinggi di negara jiran.

“Saya yakin, semua anggota telah bersedia dan saya berharap mereka semua lebih berwaspada semasa menjalankan tugas,” katanya.

Beliau sebelum itu meluangkan masa untuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama pegawai dan anggota Batalion 1 Rejimen Sempadan di Markas Tok O dekat sini, malam kelmarin.

Mohd. Noor memberitahu, kebiasaannya rakyat dari kedua-dua buah negara akan mengambil kesempatan menyeludup barang-barang sama ada bagi tujuan komersial atau kegunaan semasa perayaan untuk mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Katanya, antara kawasan yang akan diberi tumpuan termasuk Pekan Pangkalan Kubur (Tumpat), Rantau Panjang (Pasir Mas) dan Bukit Bunga (Jeli) di Kelantan serta Bukit Kayu Hitam di Kedah.

“Kebanyakan mereka ini masuk hutan pada waktu malam untuk mengelak daripada dikesan.

“Biasanya mereka menceroboh untuk menangkap monyet dan biawak,” ujarnya.

- KOSMO!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.