Rabu, Julai 07, 2010

Universiti kekalkan kursus kemanusiaan

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tetap meneruskan kursus kemanusiaan di universiti walaupun sedar permintaan industri terhadap graduan lulusannya terhad berbanding bidang sains dan teknologi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya tidak bercadang mengehadkan pengambilan pelajar atau menutup kursus berkaitan kemanusiaan hanya kerana sukar mendapat kerja

Beliau berkata, perlu ada keseimbangan antara lulusan dalam kedua-dua bidang itu bagi memastikan kerajaan tidak dipersalahkan jika nilai kemanusiaan di kalangan masyarakat menurun pada masa hadapan.

Perkara ini menjadi perdebatan sepanjang masa kerana kejayaan universiti diukur dari perspektif penerimaan industri terhadap graduan dengan universiti yang gagal memasarkan pelajarnya dianggap gagal.

Graduan berkaitan sejarah dan agama masih diperlukan kerana mereka membawa nilai kemanusiaan yang tidak ada dalam program sains dan teknologi, katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu Khaled merasmikan Kongres Modal Insan Asia 2010 yang turut dihadiri Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah; Setiausaha Persekutuan Sarawak, Md Yahaya Basimin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Khaled berkata, universiti perlu mempunyai keseimbangan dalam penawaran kursus agar bidang kemanusiaan tidak dipinggirkan atas alasan permintaan industri.

Kita ada cadangan menggabung ijazah program sains dan teknologi serta kemanusiaan, namun ia belum dapat dilaksanakan berikutan masih pada peringkat penyesuaian kokurikulum di Malaysia, katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts