Jumaat, Julai 30, 2010

Setem khas Hari Pahlawan dijual mulai 31 Julai


Sempena sambutan Hari Pahlawan 2010, Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan setem khas bertemakan Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa pada Sabtu ini, 31 Julai 2010.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Berhad, Yasmin Ramli berkata, setem berkenaan akan dijual di Pejabat Pos seluruh negara dan juga di Unit Setem & Filateli ibu pejabat Pos Malaysia Berhad mulai jam 8.30 pagi hingga 3 petang pada hari berkenaan.

"Pengeluaran setem itu sebagai penghargaan kepada pahlawan negara dan juga meningkatkan kesedaran serta pengetahuan orang ramai terhadap Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagi keluaran khas kali ini, Pos Malaysia Berhad akan menampilkan tiga reka bentuk setem yang dijual dalam denominasi 60 sen, 70 sen dan 80 sen.

''Secara keseluruhan, setem keluaran khas ini hanya dicetak sebanyak 580,000 keping,'' katanya.

Selain keluaran setem khas, orang ramai turut ditawarkan sampul surat hari pertama dengan harga 30 sen atau set lengkap dengan harga RM2.40 dan juga fail khas hari pertama pada harga RM5.50 bagi setiap satu atau set lengkap pada harga RM49.90 pada hari yang sama.

Tambah beliau, Pos Malaysia Berhad tidak akan ketinggalan menyumbangkan sebanyak lima peratus hasil jualan hari pertama keluaran khas tersebut kepada tabung Hari Pahlawan.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.