Ahad, Julai 04, 2010

Sensasi Mesut Ozil (Jerman)


Apabila Jerman kehilangan Michael Ballack akibat kecederaan buku lali sempena Piala Dunia di Afrika Selatan, ramai tidak menaruh harapan kepada pasukan kendalian Joachim Loew yang rata-rata terdiri daripada barisan pemain muda.

Perlawanan pembukaan menentang Australia menjadi batu pengukur kepada skuad muda Jerman Loew itu.

Menariknya di sebalik pelbagai nada sinis buat barisan muda Jerman, mereka memulakan perlawanan dengan penuh bergaya apabila mengalahkan Australia menerusi jaringan besar 4-0.

Bagaimanapun, dalam perlawanan tersebut pemain tengah berusia 21 tahun, Mesut Ozil paling mencuri tumpuan di sebalik 11 orang pemain Jerman yang beraksi di atas padang.

Ozil yang pertama kali menyertai Piala Dunia merupakan anak muda keturunan Turki yang memainkan peranan penting menjadi arkitek melaksanakan strategi dirangka Loew untuk menjulang pasukan Jerman melakar kemenangan.

Dengan memiliki larian pantas, kelincahan membuka peluang kepada pemain lain, kemahiran individu dan mengawal perlawanan, pemain yang dilahirkan di Gelsenkirchen, Jerman itu merupakan antara permata baru di Piala Dunia yang mula menjadi buruan kelab gergasi Eropah.

Mesut yang bermaksud gembira dalam bahasa Turki mempunyai ketinggian 1.82 meter, telah membawa keceriaan kepada negara dan rakyat Jerman apabila menjadi salah seorang ayam tambatan di Piala Dunia kali ini.

Teknik dan sentuhan Ozil yang sukar diduga pihak lawan dikatakan jarang sekali dilihat dalam permainan bola sepak moden hari ini.

Dia menggelecek pihak lawan seakan-akan sedang bermain bola sepak di taman pada hujung minggu dan mampu memberi keseronokan kepada penonton yang menyaksikan kelibatnya di tengah padang.


Pemain remaja termahal

Bakat Ozil digilap kelab tempat kelahirannya iaitu Westfalia 04 Gelsenkirchen ketika berusia lapan tahun sebelum disambar gergasi Bundesliga, Schalke 04.

Selepas 30 penampilan untuk pasukan Die Knappen, Ozil dijual dengan penuh kontroversi kepada Werder Bremen membabitkan harga kira-kira RM17 juta ekoran pertikaian lanjutan kontrak yang tidak dapat dipersetujui bersama pihak pengurusan.

Pemain yang digelar Diego Baru 'Der Neue Diego' oleh peminat-peminat Werder Bremen mencatatkan sejarah tersendiri apabila muncul pemain remaja termahal di Bundesliga.

Ketika berada di Werder Bremen dia menunjukkan kemajuan dengan begitu pantas, bahkan menjaringkan enam gol hanya dalam 13 perlawanan.

"Apabila Ozil beraksi dengan potensi sebenar, dia kelihatan amat hebat. Dia mampu menjelmakan sesuatu di luar jangkaan yang beberapa individu saja dapat melakukannya.

"Dia merupakan seorang pemain yang sesuai dengan idea dan strategi diketengahkan saya. Ozil juga seorang pemain bertaraf dunia, mampu merampas bola serta membuat jaringan dari sudut sukar," ujar Loew.

Tambah Loew lagi, Ozil ialah arkitek di tengah padang dan mampu menghasilkan hantaran yang membuatkan pertahanan menjadi kelam-kabut.

Katanya lagi, menjadi pemain bertaraf dunia memerlukan pembangunan dan konsistensi yang jitu, Ozil mempunyai kriteria tersebut.

Dalam pada itu, penyerang Jerman, Miroslav Klose berkata, jurulatih Loew telah mencungkil bintang sebenar walaupun Ozil hanya mewakili skuad senior dalam beberapa perlawanan sahaja.

"Kita sentiasa mencari bakat yang sesuai untuk memakai jersi nombor 10 dan kini sudah menjumpai bakat tersebut.

"Ozil telah melakukannya dengan keupayaan sendiri. Dia merupakan bonus kepada pasukan ini," katanya lagi.

Sementara itu, pemain pertahanan Werder Bremen, Ronaldo Aparecido Rodrigues atau lebih dikenali Naldo menyifatkan Ozil sebagai Lionel Messi Jerman.

"Ozil boleh membuat keputusan dan mengawal perlawanan mengikut kehendaknya. Pemikiran pantas dan bola seakan-akan melekat di kakinya," kata Rodrigues.

Rebutan Turki-Jerman

Bagaimanapun, perjalanan pemain berbakat itu yang membuat keputusan mewakili Jerman telah mencetuskan kontroversi dalam media Jerman dan Turki.

Ozil yang menolak undangan bekas jurulatih Turki, Fatih Terim untuk mewakili negara berkenaan pada awal musim 2008/09 telah menimbulkan kemarahan di Ankara, Turki.

Bahkan, Ozil terpaksa menutup buku tetamu di laman web peribadinya untuk mengelak kebanjiran kritikan dan kemarahan peminat Turki apabila dia memilih negara kelahirannya berbanding negara ibu bapanya.

Ozil yang beragama Islam berkata teknik dan perasaan mencintai bola sepak mewakili darah Turki dalam dirinya.

"Disiplin, sikap dan memberi yang terbaik pula mewakili Jerman dalam diri saya," katanya yang meminati legenda Perancis, Zinedine Zidane.

Pada tahun lalu, Ozil telah membantu menjulang Jerman apabila menjaringkan satu gol dan memberi lorongan untuk dua gol lain perlawanan akhir Kejohanan Bawah 21 UEFA, menewaskan England yang dibimbing, Stuart Pearce, 4-0. Ozil juga mewakili skuad B17, B19 dan B21 Jerman.

Piala Dunia 2010 sekali lagi menyaksikan kehebatan Ozil apabila meranapkan impian England untuk memasuki pusingan suku akhir.

Walaupun, bersedih menerima berita buruk mengenai kematian nenek tersayang di Hospital Bandar Bolu, Turki, beberapa hari sebelum perlawanan menentang England, ia tidak menjadi penghalang bagi anak muda itu melakar aksi cemerlang.

Dengan gerakan-gerakan menarik dan larian pantas pertahanan skuad bimbingan Fabio Capello tidak dapat menandingi keupayaan Ozil.

England terpaksa akur dengan kepantasan skuad muda Jerman apabila tewas 4-1 sekali gus menyaksikan mereka sekali lagi berputih mata meneruskan perjuangan dalam Piala Dunia kali ini.

Ketangkasan Ozil telah menarik perhatian kelab ternama dunia untuk menyarungkan jersi mereka seperti Barcelona, Arsenal, Manchester United, Manchester City, Chelsea, Aston Villa dan banyak lagi.

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts