Sabtu, Julai 31, 2010

MUTV Kini Di Malaysia


Peminat kelab bola sepak terkemuka dunia, Manchester United (MU) kini boleh mengikuti perkembangan terkini gergasi bola sepak berkenaan melalui saluran televisyen rasmi MU - MUTV yang dibawakan ke Malaysia oleh Telekom Malaysia Berhad (TM).

Melalui MUTV, peminat pasukan bola sepak dan pelanggan TM boleh mendapatkan akses kepada kandungan bola sepak mengenai MU seperti berita terkini, statistik dan banyak lagi.

Jika sebelum ini saluran MUTV menjadi fenomena di Arab Saudi, Afrika Selatan dan Hong Kong, maka fenomena yang sama dijangka bakal berlaku di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan TM Berhad, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa berkata, MUTV akan membawakan aksi MU secara terus kepada lebih 4.2 juta peminat kelab berkenaan di Malaysia.

"Ia akan disalurkan melalui hubungan jalur lebar yang dikuasakan TM, ia merupakan satu cara yang hebat untuk berkongsi keghairahan Liga Perdana Inggeris dengan peminat bola sepak dan juga pelanggan-pelanggan TM," katanya pada majlis pelancaran program kerjasama lima tahun dengan MU yang ditandatangani pada Mac lalu.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Pemasaran TM, Rozalila Abdul Rahman; Naib Presiden Eksekutif Pengguna TM, Jeremy Kung; Pengarah Perhubungan MU, Nick Humphreys; Pengurus Jualan Serantau MU, Jon Naspe dan Duta Antarabangsa MU, Bryan Robson.

Tambah Zamzamzairani, melalui MUTV pelbagai berita, perlawanan kelab, wawancara belakang tabir eksklusif, rancangan temu bual, rancangan bersiri dan dokumentari melalui kelab dan barisan pemain serta beberapa program khas akan dibawakan kepada peminat MU di Malaysia.

MUTV akan disiarkan melalui perkhidmatan IPTV TM - HyppTV, manakala MUTV Online akan disiarkan di portal televisyen jalur lebar Hypp.TV (http://www.hypp.tv/manutd).

Turut diadakan sempena sambutan kerjasama ini ialah pemeran pelbagai produk dan perkhidmatan TM yang berlangsung selama lima hari.

Antara yang menarik di pameran itu ialah para pengunjung berpelung mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) TM iaitu pakej UniFi bagi perniagaan dan kediaman.

Pelawat-pelawat yang membeli atau melanggani produk dan perkhidmatan terpilih TM juga layak menerima barangan eksklusif MU.

Lebih menarik pengunjung dapat menyaksikan pameran Manchester United Museum dan pameran 100 tahun Old Trafford.

Turut dipamerkan ialah kasut but bola sepak pemain seperti Park Ji Sung dan Dimitar Berbatov, bola perlawanan akhir perlawanan Carling Cup 2010, jersi perlawanan akhir 1957 milik Jackie Blancflower dan jersi perlawanan akhir Piala Eropah 1968 milik Shay Brennan.

Bukan itu sahaja, pengunjung bertuah juga berpeluang bergambar dan mendapatkan autograf lagenda MU, Robson.

Pembangunan Bola Sepak Tempatan

Menurut Zamzamzairani juga, sebagai penaja utama Liga Malaysia sejak 2005, TM akan sentiasa meneroka peluang-peluang dan menyediakan platform untuk transformasi positif belia melalui sukan bola sepak.

Jelasnya, kerjasama baru TM dengan pasukan bola sepak terkenal berkenaan akan memberi dorongan kepada pemain-pemian muda di Malaysia untuk menjadi pemain bertaraf dunia.

"Sebagai syarikat yang tidak asing lagi di arena bola sepak tempatan, TM melihat usahasama ini bukan sahaja sebagai pemberian kepada pelanggan TM tetapi juga sebagai sebahagian daripada sumbangannya untuk pembangunan bola sepak di Malaysia," katanya.

- MSTAR

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.