Jumaat, Julai 30, 2010

Karnival Malaysia Inovatif Zon Timur jadi tumpuan

KUALA TERENGGANU 29 Julai - Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini bakal menjadi tumpuan ramai apabila berlangsungnya Karnival Malaysia Inovatif (MI2010) Zon Timur selama dua hari bermula 30 Julai 2010.

Karnival tersebut merupakan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, Pahang dan Kelantan selain Rakan Inovatif.

Karnival tersebut akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderul Zaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dijangka hadir.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata, penganjuran karnival kali ini dijangka menarik tidak kurang 12,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan tarikan utama kepada produk hasil inovasi yang dipamerkan.

''Kita (MOSTI) menjangka tidak kurang 12,000 hadir dan mereka akan tertumpu kepada pameran yang menampilkan hasil kreativiti masyarakat Pantai Timur,"ujarnya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Fadillah berkata, pameran tersebut akan membuktikan keupayaan dan kemampuan rakyat Malaysia menghasilkan produk hasil kreativiti dan ilham ciptaan yang menakjubkan.

Selain pameran, pelbagai acara lain turut dijangka menarik perhatian antaranya Malam Kreativiti Muzikal dan pertandingan Inovasi peringkat Zon Pantai Timur, ceramah inovasi dan program Cabaran Angkasawan Malaysia.

Larian angkasawan memberi peluang kepada pemenang untuk menghadiri sesi latihan di peringkat kebangsaan dan pemenang utama terpilih untuk menyertai lawatan ke Amerika Syarikat atau United Kingdom bagi mendalami bidang sains angkasa di negara berkenaan.

Katanya, Karnival MI2010 yang bertemakan Meraikan Kreativiti diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pemikiran kreatif selain memupuk budaya inovasi di kalangan rakyat di tiga negeri pantai timur iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Fokus utamanya ialah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat dengan matlamat melahirkan satu bangsa berinovasi.

Manakala kumpulan sasarannya adalah dari segenap lapisan masyarakat meliputi golongan orang kurang upaya (OKU), wanita, belia, pelajar sekolah, komuniti, penduduk bandar dan luar bandar, penyelidik, badan bukan kerajaan dan pihak swasta.

Karnival MI2010 itu merupakan yang ketiga diadakan daripada enam yang dijadualkan sepanjang tahun ini.

Sebelum ini, karnival seumpamanya diadakan di Perlis (Zon Utara) dan Kota Kinabalu, Sabah (Zon Sabah).

Selepas ini, bengkel tersebut dijadual diadakan di Pagoh, Johor (Zon Selatan), Melaka (Zon Tengah) dan Sarawak manakala acara kemuncak Festival Inovasi diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada November ini.

Apa yang pasti, MI2010 menghimpunkan lebih 200 program ke seluruh negara yang mana setiap lokasi menawarkan keunikan kreativiti dan inovasi penduduk setempat.

Antara acara yang turut menjadi tumpuan orang ramai adalah Bengkel Mega ke arah Rakan Inovasi bersama Zull Design dengan kerjasama Utusan Malaysia.

Bengkel yang akan disertai seramai 100 peserta tersebut akan merungkai rahsia penggunaan alatan tertentu yang memudahkan peminat inovasi untuk melakukan pelbagai ciptaan terbaru.

Manakala Program Malam Kreativiti Muzikal pada hari pertama karnival tersebut bakal menonjolkan bakat serta kreativiti anak-anak muda negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Berkonsepkan 'waste to wealth', program tersebut turut bakal menyaksikan persaingan hebat antara kumpulan-kumpulan yang terpilih sebagai 'finalis'.

Johan pertandingan tersebut akan berpeluang membuat persembahan di Festival MI2010 di Bukit Jalil pada November 2010 ini.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.