Akademi PLKN ditubuh tahun depan

Akademi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ditubuhkan tahun depan bagi merancang dan melaksana program latihan setempat untuk semua jurulatih program berkenaan yang kini dijalankan secara berselerak di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata keputusan untuk menubuhkan akademi sendiri itu diputuskan Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) kelmarin.

Ini bagi membolehkan seramai 4,000 jurulatihnya menjalani pelbagai latihan termasuk menjadi jurulatih, latihan ulang kaji, latihan pakar dan latihan menjadi ketua jurulatih membabitkan aspek fizikal dan pelbagai kemahiran. Beliau berkata, MLKN sudah meminta jabatan berkenaan merancang dan mendapatkan kelulusan sewajarnya daripada pihak tertentu termasuk Kementerian Pertahanan bagi melaksanakan penubuhan akademi itu secepat mungkin.

“Tempat tidak tahu lagi, dijangka kalau tidak ada halangan boleh bermula tahun depan (penubuhan). Buat masa sekarang, kita menyewa merata tempat sebab tidak ada akademi yang khusus. Kalau ada akademi sendiri, ia lebih baik dengan kelengkapan yang sesuai... kita sedang bersedia ke arah itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Diminta mengulas modul baru berkonsep 1Malaysia yang diperkenalkan PLKN, Abdul Hadi berkata modul itu sudah dilaksanakan awal tahun ini dengan pengisian program dilaksanakan dalam tempoh satu hari berbentuk sesi penerangan dan dialog.

Beliau berkata peserta diberi penerangan mengenai gagasan 1Malaysia secara terperinci oleh kakitangan Kementerian Penerangan dan sehingga kini didapati peserta memahami konsep berkenaan dengan jelas.
Mengenai modul pendidikan seks, Abdul Hadi berkata MLKN tidak bercadang untuk melaksanakan subjek berkenaan buat masa ini, tambahan pula pihaknya menyediakan banyak modul bagi mencegah masalah sosial dan jenayah.

“Banyak ahli majlis berpendapat ada pro dan kontra cadangan ini (pendidikan seks) dan majlis mengambil keputusan mengelakkan perkara yang menimbulkan persepsi kepada PLKN.

“Di samping modul utama iaitu pembangunan karekter dan fizikal yang menjurus kepada usaha meningkatkan daya tahan diri, pelatih juga diajar untuk menolak perkara yang tidak berfaedah atau membahayakan diri pada masyarakat ,” katanya.

Ditanya pelatih yang tidak tamat atau menangguhkan latihan perlu menjalani latihan semula, Abdul Hadi berkata mereka perlu menjalani latihan semula dengan mengikuti latihan menggunakan modul baru berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata seramai 600 media dijangka akan menyertai program PLKN selama dua hari satu malam bermula minggu depan di 78 PLKN seluruh negara.

“Ada dua sesi pengambilan dengan sesi pertama bagi media di Semenanjung yang akan menyertai program ini bermula pada 31 Julai hingga 1 Ogos, manakala media di Sabah dan Sarawak serta pantai timur Semenanjung akan mengikuti latihan pada 7 dan 8 Ogos,” katanya.

- BERITA HARIAN Akademi PLKN ditubuh tahun depan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.