Subsidi: Ambil kira sentimen rakyat

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
Pensyarah, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Usaha kerajaan memberi subsidi kepada rakyat dalam bentuk bahan makanan merupakan simbol kepada kerajaan prihatin. Ini merupakan asas utama kepada pembentukan sebuah kerajaan yang ideal mengikut perspektif Islam.

Sikap keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dalam aspek penyediaan kemudahan asas terutama berkaitan dengan subsidi bahan makanan merupakan kekuatan kerajaan Malaysia jika dibandingkan dengan negara Islam yang lain.

Jika negara ingin dimajukan setaraf dengan negara-negara maju maka asas keperluan rakyat terutama berkaitan dengan pemakanan sepatutnya tidak perlu dihapuskan kerana tanpa sokongan rakyat kerajaan tidak dapat dibentuk secara kukuh.

Apabila negara menghadapi krisis inflasi para pemimpin, pentadbir dan pakar perancangan polisi sepatutnya menghadkan pembangunan yang kurang menjejaskan kedudukan rakyat dengan tujuan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan politik.

Jika perkara ini diabaikan maka kedudukan kerajaan akan tergugat. Mengisi perut yang lapar lebih penting daripada membangunkan bangunan yang canggih dan hebat.

Keprihatinan kerajaan terhadap penyediaan asas rakyat merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan Malaysia mampu menghadapi pelbagai rintangan berkaitan dengan krisis politik kerana rakyat masih lagi menghargai jasa kerajaan.

Sikap terlalu ghairah untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang maju setaraf dengan negara maju secara menyekat subsidi keperluan asas rakyat adalah satu tindakan yang boleh menyebabkan rakyat merasai tidak puas hati dan kecewa.

Para perancang polisi perlu memberi keutamaan kepada aspek pengisian perut rakyat terlebih dahulu sebelum merancang sesuatu yang besar bagi memajukan negara.

Jika Malaysia ingin maju standing dengan negara-negara maju maka ia boleh dicapai secara proses evolusi bukan secara terlalu pantas kerana perancangan begini boleh menyebabkan rakyat hilang arah dan panduan apabila harga bahan makanan dan minuman mahal.

Kesilapan yang berlaku dalam negara-negara kurang maju di Eropah perlu dijadikan panduan kepada kerajaan Malaysia. Apabila kerajaan mereka menggunakan mata wang Euro dalam urusan perniagaan dalam negara maka rakyat miskin menjadi keluh kesah kerana harga makanan secara tidak langsung meningkat kerana mata wang Euro adalah terlalu besar jika dibandingkan dengan mata wang asal negara mereka. Kemajuan dan tamadun yang ingin dibentuk perlu selaras dengan realiti kehidupan masyarakat.

Perkara utama yang sepatutnya menjadi tumpuan utama kerajaan Malaysia bagi mengatasi masalah subsidi bahan makanan kepada rakyat ialah menumpukan perhatian terhadap pembangunan atau projek yang boleh melipatgandakan bahan-bahan pemakanan dalam negara.

Kemajuan yang wujud dalam negara masa kini sudah cukup untuk membanggakan rakyat dalam negara ini. Apakah ertinya tamadun dan kemajuan jika rakyat tidak dapat menikmati keenakan makanan dan minuman?

- UTUSAN Subsidi: Ambil kira sentimen rakyat

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.