Rabu, Jun 02, 2010

Rahsia PDRM dijamin selamat

Ketika cadangan menggantikan anggota dan pegawai polis di bahagian pentadbiran dengan kakitangan awam dilontarkan, banyak pihak bimbang tentang soal keselamatan rahsia yang melibatkan pasukan itu.

Manakan tidak, semua ibu pejabat dan kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'dikelilingi' fail-fail sulit negara yang dibimbangi akan bocor ke tangan pihak tidak bertanggungjawab, apatah lagi negara asing.

Namun Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pantas menepis kebimbangan itu dan menyatakan yang PDRM telah mengambil langkah-langkah sewajarnya.

Apatah lagi, kesemua 4,279 kakitangan awam itu yang mendaftar sepenuhnya sejak semalam (1 Jun) hanya menjalankan tugas-tugas pentadbiran dan tidak melibatkan soal-soal sensitif negara.

Antaranya mengemas kini rekod, data serta statistik, selain bertugas sebagai pustakawan, pembantu makmal forensik, penyambut tetamu dan penyelidikan yang sebelum ini dilakukan anggota polis.

Bagaimanapun orang nombor satu PDRM itu tetap mengingatkan kepada semua kakitangan awam bahawa mereka terikat dengan kerahsiaan negara melalui Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

"Adalah menjadi tanggungjawab kakitangan awam untuk tidak membocorkan rahsia itu. Jika perkara tersebut (kebocoran maklumat) berlaku, mereka boleh diambil tindakan dan dituduh di mahkamah.

"Untuk itu, hanya 'orang lama' (pegawai polis) ditugaskan untuk menguruskan rahsia tersebut. Orang-orang baru tak bolehlah masuk," tegas Musa pada sidang akhbar di pejabatnya di Bukit Aman, Isnin lalu.

Selain itu, semua kakitangan awam yang telah diserapkan juga telah ditapis latar belakang oleh PDRM bagi memastikan mereka benar-benar bersih daripada perkara-perkara tidak diingini.

Beliau turut optimis PDRM akan melalui perubahan 'wajah' yang ketara apabila semakin ramai kakitangan awam tidak beruniform kini berada di dalam bangunan-bangunan milik pasukan.

Perkara itu sudah tentu satu perkembangan positif, dalam usaha PDRM untuk menjalinkan hubungan yang lebih baik dan erat bersama masyarakat.

"Masyarakat akan dapati lebih ramai yang tidak beruniform ketika hadir di ibu pejabat Bukit Aman, kontinjen-kontinjen negeri dan ibu pejabat daerah.

"Mereka (kakitangan awam) ini juga akan bertugas sebagai penyambut tetamu. Saya percaya ia akan tingkatkan kemesraan polis dan orang awam," ujarnya.

Bagi memastikan kelancaran penugasan kakitangan awam di dalam PDRM, Musa berkata, mereka akan diberi latihan selama seminggu bagi tempoh penyesuaian.

"Maklumlah polis bekerja 24 jam dan bertugas mengikut syif. Namun saya percaya mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan budaya kerja kita," katanya.

Dalam pada itu, Musa melahirkan rasa puas hatinya dengan penugasan semula anggota dan pegawainya ke jalanan yang telah mula dilakukan sejak 2008 dengan bilangan 800 orang.

Sejak daripada tarikh itu, indeks jenayah di lokasi-lokasi panas mulai menunjukkan penurunan meskipun pada awalnya PDRM menghadapi masalah untuk menjalankan tugas-tugas pentadbiran.

Bagaimanapun ia semakin lancar dengan kelulusan kerajaan untuk menggantikan anggota dan pegawai terbabit dengan sejumlah kakitangan awam, tahun lalu.

"Kini seramai 7, 402 anggota dan pegawai ASP (Asisten Supritendan) dan ke bawah ditugaskan ke bawah untuk meningkatkan tahap rondaan dan memantapkan bidang siasatan jenayah serta risikan.

"Pegawai ASP, cif inspektor dan inspektor itu akan melakukan tugas siasatan dan menyelia anggota meronda melalui jalan kaki, kereta peronda dan bermotosikal.

"Anggota berpangkat sarjan pula akan membantu pegawai penyiasat (IO). Bagi memantapkan kerja siasatan, semua anggota terbabit akan dilatih oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)," jelasnya.

Pada masa sama, dianggarkan 500 lagi sarjan akan diambil di kalangan graduan-graduan peringkat diploma pada Ogos ini, yang dilatih khusus menjadi penolong pegawai penyiasat (AIO).

Menurut Musa, kesemuanya itu sebahagian daripada penstrukturan semula yang dilakukannya untuk memantapkan pasukan penyiasat PDRM bagi menghadapi cabaran akan datang.

Ini bermakna sekiranya ia dilaksanakan, setiap pasukan penyiasat yang diketuai oleh pegawai berpangkat inspektor, akan dibantu lima sarjan di bawahnya.

"Inspektor akan menyiasat kes-kes besar, manakala anggota pula untuk kes-kes kecil. Kita menyasarkan setiap mereka menyiasat lima kes sebulan.

"Namun ketika ini, ada pegawai dibebankan sehingga 20 kes sebulan. Untuk itu, kita perlu menambah 2,000 lagi IO dan AIO pada masa depan.

"Ini penting bagi memastikan setiap siasatan dijalankan berjaya dibuktikan di mahkamah seterusnya penjenayah dapat disabitkan hukuman," ujarnya.

Musa seterusnya yakin, PDRM berada di landasan tepat dengan pelaksanaan penugasan semula itu, malah diterima baik oleh anggota dan pegawainya hasil maklum balas diterimanya.

"Saya dimaklumkan, ramai polis di jalanan hingga kalau berlakunya kejadian jenayah, penjenayah dapat ditangkap dengan cepat kerana tindakan pantas polis.

"Anak-anak buah saya pula ghairah kerana akhirnya dapat meninggalkan pejabat yang 'membosankan' untuk menjalankan kerja kepolisan," ujar Musa.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts