Rabu, Jun 02, 2010

Modul kursus pelatih PTD alami alahan diubah suai

Pelaksanaan modul latihan bagi kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) yang menjadi kursus mandotari bagi setiap Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) lantikan baru untuk pengesahan jawatan diubah suai bagi peserta yang mengalami masalah kesihatan.

Malah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataannya semalam menyebut modul latihan itu tidak sama atau seberat latihan dikendalikan untuk pelatih pasukan beruniform.

Katanya, modul dan tempoh kursus DPA disemak dan ditambah baik dari semasa ke semasa dan mulai 2000, tempoh kursus dipendekkan kepada enam bulan atau 30 minggu saja mengandungi 17 modul dalaman dan luaran.

Program itu memberikan penekanan seimbang kepada latihan berbentuk akademik dan bukan akademik mengandungi komponen ilmu teras iaitu selama 17 minggu dan komponen pengukuhan diri (13 minggu).

Kenyataan itu menyebut, menerusi komponen pengukuhan diri, antara modul ditawarkan ialah pendedahan kepada perkhidmatan bomba, tentera, polis dan program jati diri serta tanggungjawab sosial dan masyarakat yang masing-masing selama seminggu.

“Komponen pengukuhan diri itu dijalankan secara bergilir dengan komponen ilmu teras mengandungi modul pengurusan sumber manusia, pengurusan pejabat, kewangan, ekonomi, pengurusan pentadbiran daerah, tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Modul pengukuhan diri juga dilaksanakan mengikut kemampuan peserta dan mengandungi aktiviti asas bomba, polis dan tentera, tetapi tidak sama atau seberat latihan pelatih beruniform,” katanya.
Kelmarin pelatih PTD, Norhashimah Wahid, 30, yang tenat selepas menjalani latihan intensif ala komando di sebuah kem latihan di Banting, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Allahyarham meninggal dunia pada jam 6.40 pagi selepas mengalami sesak nafas akibat jangkitan paru-paru berair (pneumonia) dan kegagalan organ lain berfungsi.

Kenyataan itu turut menyebut JPA melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga Allahyarham dan sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu.

Katanya, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) menganjurkan kursus DPA untuk melatih pegawai muda PTD sejak 1977 dan melahirkan lebih 10,000 pelatih PTD.

“Kejadian sedih seperti itu adalah kejadian pertama kali berlaku sejak kursus dilaksanakan,” katanya.

Kesemua modul dilaksanakan dalam kursus DPA bertujuan melahirkan PTD yang berketerampilan dan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cekap, mengamalkan kerja berpasukan, taat setia kepada bangsa dan agama serta memahami dan mendukung dasar pembangunan negara.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.