TLDM bakal miliki 13 kapal baru

21 Mei 2010 - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal memperoleh tiga kapal sokongan pelbagai guna (MRSS) dan 10 kapal latihan apabila kerajaan pada dasarnya telah meluluskan pemilikan 13 kapal tersebut yang kesemuanya bernilai RM2.2 bilion.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebuah kapal MRSS itu akan dibina di luar negara, manakala dua buah lagi akan dibina oleh syarikat tempatan, NGV Tech Sdn. Bhd. (NGV Tech) di limbungan baru yang akan dibina di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, sebuah kapal MRSS itu dibina di luar negara supaya membolehkan pemindahan teknologi dilakukan kepada jurutera dan juruteknik tempatan yang akan turut terlibat dalam pembuatan kapal berkenaan.

''Pemilikan tiga buah kapal MRSS sudah mendapat kelulusan dan akan ditambah dengan 10 buah kapal lagi untuk latihan.

''Kapal-kapal ini akan diperoleh dalam tempoh 48 bulan dari tarikh penawaran dan dengan pemilikan ini, ia akan memperkuatkan pasukan armada laut negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Lembaga Pengarah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keow Min dan Ahli Jawatankuasa Tokong Cina Bagan Hutan Melintang di sini hari ini.

Usaha pemilikan tiga buah kapal MRSS itu dibuat untuk menggantikan Kapal KD Sri Inderapura milik TLDM yang terpaksa dilucutkan tauliah selepas rosak teruk dalam kebakaran pada 8 Oktober 2009.

Kehilangan kapal KD Sri Inderapura itu menyebabkan TLDM hanya memiliki sebuah kapal pengangkut iaitu KD Sri Indera Sakti sehingga menjejaskan keupayaan pasukan armada negara itu.

Mengulas mengenai pembinaan limbungan itu, Ahmad Zahid berkata, ia akan dibina di sebuah kawasan seluas 202 hektar milik Sime Darby Berhad (Sime Darby) di sini dan upacara pecah tanah akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada bulan depan.

Katanya, Lembaga Pengarah Sime Darby pada dasarnya sudah bersetuju untuk menjual tanah miliknya kepada NGV Tech bagi tujuan pembinaan limbungan berkenaan.

''Saya sudah persembahkan perkara ini kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak.

''Mereka menyokong usaha ini yang bukan sahaja akan memperkuatkan TLDM, malah pada masa sama, Bagan Datoh akan muncul sebagai kawasan pembinaan kapal dan bakal menyediakan 5,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan," katanya.

Ditanya mengenai kemampuan syarikat NGV Tech, beliau berkata, syarikat tersebut mempunyai kepakaran dalam pembinaan kapal dan sudah membuat sebanyak 200 pelbagai jenis kapal yang kebanyakannya dibeli oleh negara-negara Asia Barat.

''NGV Tech merupakan syarikat milik bumiputera dan kerajaan membantu syarikat ini sebagai bukti sokongan kerajaan kepada syarikat tempatan," katanya.

Sebelum ini, NGV Tech dilaporkan yakin mampu membina kapal pengangkut pelbagai guna untuk TLDM telah memeterai perjanjian pembelian ekuiti syarikat perkapalan Korea Selatan, TKS Co. Ltd. sebanyak 66 peratus.

Terdahulu, pada majlis perjumpaan tersebut, Ahmad Zahid mengumumkan sumbangan RM150,000 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kepada lapan buah kampung nelayan di sini bagi tujuan pembinaan jambatan konkrit untuk menggantikan titi yang sudah usang.

Beliau turut mengumumkan sumbangan RM30,000 untuk pembinaan bangunan baru SJKC Keow Min yang melibatkan kos RM2 juta.

- UTUSAN TLDM bakal miliki 13 kapal baru

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.