Beli pakaian angkasawan ke ISS


Angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berhasrat untuk membeli sendiri pakaian yang pernah digunakannya sewaktu berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), tiga tahun lalu.

Menurutnya, jika dapat direalisasikan, pakaian bernilai AS$70,000 (RM220,500) itu akan dipamerkan di sebuah pusat sains angkasa yang bakal dibinanya di Negeri Sembilan nanti.

Jelas beliau, sebelum ini, ada agensi yang menyatakan minat untuk membeli pakaian itu, namun pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas mengenai perkara tersebut.

''Saya akan cuba mencari penaja daripada syarikat korporat lain.

''Kalau tidak ada, saya akan usahakan juga untuk membeli pakaian itu,'' katanya ketika ditemui pada sidang akhbar penganjuran Kongres Persatuan Penjelajah Angkasa Lepas (ASE) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan YTL Group, Tan Sri Francis Yeoh, Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Rangkaian dan Hasil) Malaysia Airlines, Dr. Amin Khan dan Pengarah Eksekutif ASE, Andrew Turnage.

Sidang akhbar itu turut dihadiri lima angkasawan yang juga ahli ASE iaitu Richard N. Richards dari Amerika Syarikat (AS) dan Viktor P. Savinykh, Yury Vladimirovich Usachev, Alexander P. Alexandrov serta Natalja Kuleshova dari Rusia.

Seramai 100 angkasawan dari 35 buah negara akan menyertai kongres berkenaan yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 10 Oktober ini di ibu negara.

Malaysia merupakan negara ASEAN pertama yang menjadi tuan rumah kongres berkenaan.

ASE yang ditubuhkan pada 1985 kini dianggotai lebih 300 orang angkasawan dari 35 negara termasuk Malaysia.

Negara-negara lain antaranya Afghanistan, Austria, Belgium, Brazil, Bulgaria, Kanada, Cuba, Republik Czech, Perancis, Jerman, India, Itali, Jepun, Kazakhstan, Rusia, Arab Saudi, Sweden, Switzerland, Syria dan AS.

Mengulas lanjut, Sheikh Muszaphar berkata, pakaian yang digunakannya sewaktu berlepas ke ISS itu sangat berharga dan ia perlu dibawa ke tanah air sebagai tatapan rakyat Malaysia.

Mengenai cadangan membina sebuah pusat sains angkasa di Negeri Sembilan, beliau menjelaskan, ia sebagai usahanya untuk menggalakkan generasi muda supaya menerokai bidang sains angkasa lepas.

''Pada waktu ini, mungkin kita tidak mampu untuk menghantar angkasawan seterusnya ke angkasa kerana kos terlalu mahal.

''Justeru, amat penting untuk difikirkan supaya generasi sekarang dibentuk dan dibangunkan menjadi saintis, doktor serta jurutera dalam bidang angkasa.

''Tenaga profesional dalam bidang ini masih belum mencukupi. Kita perlu merancang dari sekarang,'' ujarnya.

Ditanya tentang penganjuran Kongres ASE, katanya, selain pameran dan diskusi, angkasawan yang menyertai kongres berkenaan akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memberi ceramah mengenai sains angkasa kepada sekolah terpilih di seluruh negara.

''Saya berharap agar penganjuran kongres ini mendapat sokongan semua termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, agensi kerajaan serta badan korporat lain.

''Kongres ini adalah untuk memberi pendedahan kepada semua terutama generasi muda agar mengubah minda untuk menjadi bangsa peneraju bidang angkasa lepas.

''Selain angkasawan dari AS dan Rusia, menariknya, ia akan turut disertai angkasawan pertama China, Yang Li Wei,'' tambahnya.

Kongres ASE yang bertemakan One Planet, One Hope, One Future itu diadakan bersempena dengan ulang tahun ketiga kejayaan Malaysia melancarkan misi angkasawan ke ISS.

Pelbagai video dan gambar-gambar eksklusif mengenai misi Sheikh Muszaphar sepanjang berada di ISS yang belum pernah disiarkan bakal dipamerkan sempena kongres itu nanti.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.