Isnin, Mei 24, 2010

8,000 Warga TUDM Catat Rekod Derma Darah


Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menganjurkan program derma darah dengan menyasarkan lebih 8,000 penderma daripada kalangan pegawai dan anggotanya sekaligus bakal dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records.

Program selama sembilan jam itu yang bermula 8 pagi diadakan serentak di 11 pangkalan TUDM seluruh negara sempena menyambut ulang tahun TUDM ke-52 pada 1 Jun ini.

Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata program itu bertujuan membantu Tabung Darah Negara bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan stok darah di seluruh negara.

"Menyedari masalah kekurangan Tabung Darah serta rasa prihatin dan percaya bahawa kebajikan masyarakat adalah tanggungjawab sosial yang perlu dipikul bersama, TUDM merasakan program ini merupakan satu platform untuk kami berbakti kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen derma darah di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Rodzali berkata program derma darah itu merupakan amalan tradisi dalam sambutan ulang tahun TUDM yang diadakan setiap tahun, namun program kali ini merupakan yang terbesar dan julung kali dianjurkan kerana melibatkan semua pangkalan utama TUDM.

"Jumlah warga TUDM yang telah mendaftar untuk menderma darah adalah 8,000 orang dan ia merupakan jumlah penderma terbanyak bagi sesebuah organisasi setakat ini. Antara pangkalan utama yang terlibat adalah merangkumi pangkalan Udara Kuala Lumpur, Butterworth, Kuching dan Labuan," katanya.

Laskar Udara Kanan Ahmad Hazani Roslam, yang sudah tujuh kali menderma darah darah sejak mula bekhidmat dengan TUDM tujuh tahun lepas, berkata ia adalah tanggungjawab sosial beliau kepada masyarakat.

- BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts