Jumaat, April 23, 2010

Proton jual 3.3 juta kereta sejak 1985


SUBANG JAYA 21 April - Proton Holdings Bhd. (Proton) telah berjaya menjual 3.3 juta kenderaan pelbagai model sejak beroperasi 25 tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, dalam bergerak ke hadapan atau 25 tahun lagi, Proton perlu berubah jika mahu kekal menjadi jenama global yang kompetitif tanpa bergantung kepada pasaran tempatan dan rantau ini.

"Sejak Proton mula ditubuhkan pada 9 Julai 1985 kita bermula dengan mengeluarkan puluhan ribu buah kereta Proton Saga dan kini jenama Proton telah mula menjengah beberapa buah negara dan berjaya menjual lebih tiga juta kenderaan di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan logo dan program sambutan ulang tahun ke-25 Proton di sini hari ini.

Menurut Syed Zainal, untuk terus bersaing di peringkat lebih kompetitif, Proton merancang meningkatkan jumlah eksportnya dari 30 peratus ketika ini kepada 75 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Bagi pasaran domestik pula, pengeluar kereta nasional itu merancang menjual kira-kira 25 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran.

Malah katanya, kemungkinan jumlah jualan selama 25 tahun lalu akan menjadi sekali ganda dan ia akan menentukan keupayaan dan kewibawaan Proton untuk terus bersaing.

Beliau berkata, perancangan terbalik itu merupakan usaha menjadikan Proton sebaris dengan jenama lain di dunia ini selain perancangan untuk memasuki negara-negara besar seperti India, China, Iran dan Asia Tenggara.

Bagi negara seperti India dan China, Proton memerlukan rakan kongsi untuk menembusi pasaran negara itu kerana usaha membawa masuk model siap dipasang sepenuhnya (CBU) adalah tidak menguntungkan.

"Kita telah mempunyai pejabat di China dan India manakala rakan kongsi juga telah dikenal pasti dan ini merupakan perancangan jangka panjang Proton dalam menilai perkembangan jenama tempatan ke peringkat global," katanya.

Syed Zainal menambah, Proton harus belajar dan memiliki kemahiran serta pengetahuan baru, mengadaptasi jangkaan berlainan, budaya dan keperluan pasaran antarabangsa dan amalan terbaik antarabangsa.

Beliau menambah, sempena sambutan 25 tahun, Proton telah mengatur pelbagai program seperti penghargaan kepada kakitangan yang setia dan lama berkhidmat, jamuan makan malam, jelajah amal 1Proton 1 Malaysia, mewujudkan tabung amal untuk 25 pertubuhan amal dan pelbagai peraduan.

Selain itu Proton juga akan menerbitkan sebuah buku bacaan santai (coffe table) edisi terhad yang menceritakan perjalanan penubuhan Proton, penjualan pelbagai cenderamata dan juga majlis penghargaan untuk para vendor dan pengedar terlibat.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts