Isnin, April 19, 2010

Peluang kedua lepasan SPM lanjut pengajian

Kerajaan memberi peluang kedua kepada pelajar yang gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui program pengajian berbentuk modular di Kolej Komuniti di seluruh negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya sudah mengenal pasti 54 program pengajian untuk ditawarkan kepada pelajar dan sistem pengajian modular dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Beliau berkata, melalui sistem pengajian modular berkenaan, tempoh belajar ditetapkan bagi peringkat sijil tiga hingga enam bulan dan 80,000 pelajar dapat mengikuti program pengajian itu setiap tahun.

"Kita berusaha menyediakan program pengajian yang mudah dan popular untuk menarik belia. Sasaran kerajaan untuk memastikan 40 peratus kumpulan masyarakat memerlukan pembelaan dibela sewajarnya.

"Sistem pengajian modular bakal menambah bilangan pelajar Kolej Komuniti daripada 8,000 kepada penambahan sehingga 10 kali ganda iaitu 80,000. Sistem ini juga memendekkan tempoh pengajian," katanya pada Hari Terbuka Kolej Komuniti Hulu Selangor, di sini semalam.

Khaled berkata, langkah ini juga membuktikan usaha kerajaan yang sentiasa mengutamakan ilmu pendidikan rakyat bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

- BERITA HARIAN

1 ulasan:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.