Isnin, April 12, 2010

100 cawangan Easy by RHB sasar RM100 juta pinjaman

Easy by RHB merupakan satu inovatif baru yang diperkenalkan Kumpulan Perbankan RHB untuk sentiasa dekat dengan komuniti dan masyarakat, kata Ketua Perbankan Runcitnya, Renzo Viegas.

Selain itu, ia juga menawarkan pengalaman berbeza kepada pelanggan kerana Easy by RHB menyediakan perkhidmatan pantas dan merupakan konsep perbankan yang pertama seumpamanya di rantau ini.

''Pelanggan yang mengunjungi cawangan Easy by RHB hanya perlu membawa kad pengenalan mereka (mykad) dan mengemukakan permohonan pinjaman di terminal yang disediakan sebelum kelulusan diberikan kurang 10 minit,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau, bagaimanapun menjelaskan kelulusan singkat hanya diberikan sekiranya semakan latar belakang pemohon tidak mempunyai masalah.

Menurut Viegas, pinjaman peribadi yang boleh diberikan melalui Easy by RHB adalah sehingga RM50,000 sekiranya kriteria yang ditetapkan mampu dipenuhi.

''Sebaik sahaja pinjaman diluluskan pelanggan yang berjaya boleh terus mengeluarkan duit mereka. Proses pinjaman dilaksanakan secara telus berdasarkan penggunaan Mykad,'' katanya lagi.

Viegas berkata, sejak Julai tahun lalu, Easy by RHB telah mengagihkan pinjaman melebihi RM100 juta dengan pelanggan sebanyak 10,000.

''Pada tahun ini, kami menyasarkan agihan pinjaman adalah sebanyak RM100 juta,'' tambah beliau lagi.

Setakat ini, produk-produk yang ditawarkan oleh Easy by RHB adalah yang mudah seperti dua produk pinjaman, debit kad, dua produk insurans dan akaun simpanan bersesuaian dengan permintaan pelanggan.

Viegas berkata, mereka mengambil masa enam bulan untuk menubuhkan Easy by RHB, bermula pada Julai tahun lalu dan memerlukan masa lima hingga enam bulan lagi untuk menambah cawangan baru.

''Bagi tempoh Disember tahun lalu hingga Januari tahun ini, kami membuka 29 buah cawangan baru, menjadikan jumlah keseluruhan 31 buah,

''Lima ditempatkan di pasar raya besar Tesco milik Sime Darby Bhd. dan selebihnya cawangan berdiri sendiri. Tumpuan kami kini adalah di Lembah Klang yang menjadi tumpuan penduduk,'' katanya.

Viegas berkata, pihaknya berhasrat membuka 17 lagi cawangan dengan kerjasama pasar raya besar Tesco pada bulan ini dan lapan cawangan pada bulan depan menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 100 menjelang akhir tahun ini.

Ditanya tentang produk-produk Islam yang akan diperkenalkan di Easy by RHB, Viegas berkata, perkara itu sedang ditinjau tetapi tiada perancangan dibuat setakat ini.

Dalam melangkah ke hadapan, beliau berkata, Easy by RHB akan dikembangkan ke luar Lembah Klang dengan tumpuan akan diberikan kepada empat hingga lima bandar utama di Malaysia.

Easy by RHB menjangkakan jumlah pelanggan mereka akan meningkat dengan pesat apabila mereka berada berdekatan dengan komuniti dan kejiranan di seluruh Malaysia.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts