Sabtu, Mac 06, 2010

Dividen KWSP 5.65 peratus

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen lebih tinggi sebanyak 5.65 peratus bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2009, berbanding 4.50 peratus pada tahun sebelumnya.

Kadar dividen itu diumumkan setelah KWSP memperoleh pendapatan bersih tertinggi pernah dicapai sebanyak RM19.63 bilion tahun lepas.

KWSP dalam kenyataannya di sini berkata, pendapatan bersih itu merupakan peningkatan 34.82 peratus berbanding RM14.56 bilion yang dicatatkan pada 2008.

Kadar dividen 2009 menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 115 mata asas berbanding kadar 4.50 peratus yang dibayar pada 2008.

"2009 merupakan tahun penting bagi KWSP kerana berjaya keluar daripada krisis kewangan global walaupun berdepan dengan persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan. KWSP juga masih berupaya memberikan prestasi kukuh pada tahun ini," kata Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman di sini hari ini.

Menurut Samsudin, berikutan meningkatnya kadar dividen itu, KWSP memerlukan sejumlah RM3.43 bilion untuk membayar satu peratus dividen kerana jumlah ahli yang juga telah bertambah.

"Jumlah itu meningkat 7.86 peratus berbanding RM3.18 bilion yang diperlukan bagi membayar satu peratus dividen pada 2008," kata beliau.

Samsudin berkata, para pencarum KWSP boleh menyemak dividen 2009 yang dikreditkan ke dalam akaun mereka mulai Isnin ini.

Mengulas lanjut tentang pencapaian tahun kewangan itu, beliau berkata, pada 2009 sebanyak 72.53 peratus pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap selaras dengan pendekatan pelaburan berhemah yang diamalkan diikuti pelaburan ekuiti (27.05 peratus) dan selebihnya dalam hartanah.

Samsudin berkata, sehingga 31 Disember lalu portfolio pelaburan KWSP meningkat 8.55 peratus atau RM29.25 bilion kepada RM371.26 bilion berbanding RM342.01 bilion pada tahun sebelumnya.

Dana KWSP antara lain dilabur dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia sebanyak RM93.11 bilion, pinjaman dan bon (RM152.96 bilion), ekuiti (RM100.43 bilion), instrumen pasaran wang (RM23.21 bilion) dan hartanah (RM1.55 bilion).

Samsudin menambah, prospek 2010 bergantung kepada prestasi ekonomi negara dan global.

"Pada masa ini, keadaan pasaran kewangan global masih tidak stabil dan boleh memberi kesan kepada nilai pelaburan dan pendapatan masa depan KWSP.

"Bagaimanapun, KWSP akan terus memberi tumpuan kepada matlamat utamanya melindungi simpanan ahli dan memberikan pulangan nyata yang munasabah," tambah beliau.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts