Ahad, Februari 07, 2010

Dr Sahol berjiwa kental


Daripada budak berhingus dan pernah dianggap sampah masyarakat, beliau kini bergelar profesor dan memegang jawatan disegani di kalangan masyarakat.

Pengalaman dilalui Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu wajar dijadikan panduan di kalangan generasi muda iaitu bagaimana seorang yang mempunyai peluang kecil untuk berjaya kerana hidup dalam serba kekurangan mampu menjadi insan berjaya.

Kisahnya mengusik perasaan dan seolah-olah plot cerita dalam filem. Bagaimanapun, Dr Sahol berkata, gambaran seperti kisah filem itulah kisah benar yang terjadi kepadanya.

Penulis tidak menyangka ahli akademik ini berdepan cabaran hebat ketika kecil kerana kebiasaannya 'orang besar' lahir daripada latar belakang keluarga senang.

Sukar membayangkan bagaimana beliau terpaksa tinggal di sebuah bilik sempit bersama ibu dan lapan adiknya akibat kesempitan hidup.

Gambaran kehidupan silamnya ketika membesar di Pulau Pinang seperti dalam filem P Ramlee iaitu cuma menjadi penghuni bilik dan terpaksa berkongsi kemudahan dapur, bilik air dan ruang tamu.

Hidup bersesak dalam sebuah bilik menyebabkan beliau dan adik-beradik lelaki tidur di merata tempat, termasuk di atas pangkin.

Bapanya anggota polis dan menetap jauh di Terengganu kerana tuntutan tugas. Sebagai anak sulung, Dr Sahol turut menggalas tanggungjawab untuk meringankan beban keluarga.

Sejak usia lapan tahun, beliau mula mencari wang sendiri dengan melakukan pelbagai pekerjaan, antaranya sebagai tukang sapu di kedai gunting rambut dan pembantu kedai makan.

Ketika itu masyarakat sekeliling sering memandang hina terhadapnya. Ditanya bagaimana bentuk hinaan diterima, Dr Sahol berkata, sebagai budak miskin dengan pakaian lusuh dan kasut buruk, layanan diterimanya memang menyedihkan.

"Jika berlaku kehilangan barang di sekolah, saya antara yang dituduh mencuri walaupun tak pernah berbuat demikian. Banyak kali saya ditampar guru kerana dituduh mencuri tanpa usul periksa.

"Ketika duduk dalam bas awam, saya disuruh beralih ke tempat lain dan jika meninjau barang di kedai, peniaga menghalau saya. Layanan buruk juga diterima ketika ingin membeli di kedai kerana peniaga sering tidak mahu melayan atau memberi barangan yang ingin saya beli kerana beranggapan saya tiada wang.

"Hendak mencari kerja pun sukar kerana peniaga memandang saya dengan jijik seperti budak jalanan. Namun, disebabkan selalu berusaha, ada juga yang sanggup menerima saya bekerja sambilan.

"Ketika bekerja mengambil upah menyapu lantai di kedai gunting rambut, saya turut mengambil kesempatan itu dengan membaca majalah 'Readers Digest' yang ada di situ untuk mendalami Bahasa Inggeris. Cara itu berkesan dalam memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris saya," katanya.

Disebabkan sering dipandang hina kerana kemiskinan dan menjadi mangsa buli, jiwanya menjadi kental dan tahan cabaran. Dr Sahol kemudian mempelajari ilmu mempertahankan diri daripada bapa saudaranya yang juga jurulatih tomoi.

Selain untuk mempertahankan diri, seni bela diri itu digunakan beliau untuk mencari wang iaitu dengan memasuki pertarungan tomoi yang membawanya hingga ke Thailand.

"Saya sering menyertai perlawanan tomoi di Thailand dan mendapat banyak wang walaupun kalah kerana ia tidak diadakan secara telus," katanya tersenyum.

Ibunya, Halimah Che' Daud, yang tidak bekerja, membuat kuih untuk dijual bagi mendapatkan wang. Walaupun hidup susah, ramai juga jiran yang prihatin nasib mereka sekeluarga menghulurkan bantuan dan kadangkala memberi makanan.

"Ibu adalah pendorong kejayaan saya. Dia selalu meniup semangat supaya saya rajin belajar demi mengubah kehidupan dan masa depan lebih cemerlang. Saya jarang membawa duit ke sekolah, tetapi ramai juga kawan yang belanja makan," katanya.

Beliau mempunyai ramai rakan berbangsa Cina kerana fasih berbahasa Hokkien. Dr Sahol juga lebih banyak bercakap bahasa Hokkien berbanding Bahasa Melayu kerana pergaulannya yang luas dengan rakan bangsa Cina.

Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (kini UiTM) dalam bidang Kejuruteraan Awam.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam dua bidang iaitu Kejuruteraan Awam dan Ekonomi di Amerika Syarikat sebelum mencurahkan bakti sebagai pensyarah di UiTM selama 30 tahun.

Dr Sahol menyambung pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran Kejuruteraan Awam di University Of Sussex, United Kingdom dan kembali ke tanah air untuk meneruskan khidmat sebagai Pengarah Kampus UiTM Pulau Pinang.

Pada 2004, beliau dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Awam Akademik UiTM hingga akhir 2007 sebelum jawatan Pengarah Pejabat Pengurusan Program di Kementerian Pengajian Tinggi.

Ibarat sirih pulang ke gagang, Dr Sahol kini kembali ke UiTM bagi menerajui institusi pengajian tinggi berkenaan sejak 1 Januari lalu.

Tumpuannya kini ialah mendidik anak bangsa dan melahirkan lebih ramai bilangan profesional Melayu. Visinya ialah memperkukuhkan peranan UiTM dalam memperkasakan pendidikan tinggi anak Bumiputera, selain melebar laluan untuk mereka mencapai kehidupan cemerlang dan terjamin.

Menerusi projek 'mengubah destini anak desa' yang dijalankan sejak 1994, Dr Sahol memberi peluang kepada pelajar daripada golongan susah dan penduduk luar bandar untuk belajar.

"Saya sedar masih ramai anak daripada keluarga berpendapatan rendah dan miskin tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke UiTM kerana pelbagai sebab walaupun menepati syarat.

"Dalam hal mengupayakan bangsa Melayu, pendirian saya jelas, tidak ada seorang pun anak Melayu harus tersisih dan disisih daripada peluang menuntut ilmu atas alasan kemiskinan.

"Berlandaskan prinsip itu, saya berhasrat menggerakkan jentera UiTM seluruh negara bagi menggempur pekan dan pedalaman, mendekatkan UiTM kepada golongan kurang bernasib baik, seterusnya melebarkan peluang untuk mereka mengubah nasib keluarga," katanya.

>profil
NAMA: Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar
UMUR: 58 tahun
JAWATAN: Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM)
ISTERI: Hamizah Abdul Hamid
ANAK: Norashikin (27), Yazmin (25) dan Nazreen (21)

- METRO AHAD

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.