Khamis, Januari 28, 2010

Piala Dunia di Kuala Lumpur


Kemeriahan dan kehangatan kejuaraan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan semakin dirasai dan peminat di Malaysia menjadi antara penduduk 86 negara yang bertuah dapat menyaksikan dari dekat trofi yang menjadi rebutan 32 negara pada kemuncak saingan itu, pertengahan tahun ini.

Piala Dunia berukuran 36.8 sentimeter dan seberat 6.175 kilogram diperbuat daripada emas padu 18 karat itu, diterbangkan khas ke ibu kota menggunakan jet sewa khas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dalam rangka siri Jelajah Piala Dunia-Fifa yang bermula 21 September lalu dan akan sampai ke Afrika Selatan pada 4 Mei ini.

Jet membawa trofi itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tepat jam 12.48 petang semalam dan diiringi oleh wakil dan pegawai Fifa serta wakil media. Sebelum ini, piala berkenaan dipertontonkan di Jakarta, Bangkok, Ho Chi Minh dan Kolkata, India.

"Trofi Piala Dunia ini adalah suatu pengalaman seumur hidup buat peminat bola sepak dan kehadirannya di Malaysia dianggap menjadi satu penghormatan buat peminat tanah air," kata Pengurus Am Coca Cola bagi Rantau Malaysia, Singapura dan Brunei, Antonio Del Rosario.

Sementara itu, wakil media Fifa yang mengiringi trofi berkenaan, Liu Lingling, berkata kunjungan ke Malaysia adalah dalam fasa kedua siri jelajah itu dan negara ini dipilih dalam usaha membantu meningkatkan lagi populariti sukan bola sepak.

Antonio berkata, rakyat negara ini berpeluang melihat dengan lebih dekat trofi emas itu yang dipamerkan di pusat beli belah Mid Valley, esok dan orang ramai boleh mendapat pas khas menyaksikan piala ini diperoleh dengan pembelian set hidangan burger Prosperity bersaiz besar.

"Untuk peminat bola sepak, mereka berpeluang bergambar dengan trofi ini menggunakan pas khas ini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam pada Jumaat ini," katanya yang menjelaskan Coca Cola berbangga dapat bekerjasama dengan Fifa dalam mempromosi sukan ini.

- BERITA HARIAN
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts