Isu-Isu Akhbar Cina

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

LARANGAN PERKATAAN ALLAH

Akhbar-akhbar Cina turut tidak terkecuali mengupas mengenai isu penggunaan perkataan Allah. Nanyang Siang Pao terbitan 17 Jan 2010 lalu misalnya, menyiarkan artikel mengenai isu itu yang dipetik dari laman blog Teo Bak Kim.

Menurut penulisnya, kita tidak pernah tahu perkataan Allah itu dilarang. Tetapi sejak isu ini, bukan sahaja perkataan Allah tidak boleh disebut, malah terdapat antara 20 hingga 30 perkataan lain yang tidak boleh disebut.

Menurut akhbar, setiap negeri mengeluarkan larangan yang berbeza-beza. Di Selangor, ada 35 perkataan yang dilarang. Pahang pula ada 25 perkataan, Kedah (24) dan Terengganu (10). Larangan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula membabitkan 25 perkataan.

‘‘Seandainya kita berkunjung ke negeri-negeri yang berbeza, kita perlu berhati-hati. Jika tidak, kita akan menyalahi undang-undang. Jika kita terlupa, sama ada kita akan dikenakan tindakan atau tidak terpulang kepada penentuan Yang Maha Kuasa,” demikian menurut artikel itu.

Penulisnya menambah, perkataan yang tidak boleh digunakan menurut laman web KDN ialah haji. Justeru adakah rakan-rakan Islam yang ramai menunaikan haji tidak lagi boleh dipanggil begitu?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mempersoalkan, selama ini penganut kristian menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa tempatan untuk menyebar agama. Kenapa baru sekarang mahu menggunakan bahasa Melayu? Adakah mereka mempunyai muslihat yang lain. Soalan ini sangat mudah dijawab. Ini adalah hasil daripada kerajaan yang mahukan semua rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu.

Sepatutnya kerajaan gembira dengan perkembangan ini. Hari ini bukan sahaja orang Melayu menggunakan bahasa Melayu dalam percakapan seharian mereka. Orang-orang bukan Islam juga sudah menggunakan bahasa Melayu untuk penyebaran agama.

Ia membuktikan polisi menegakkan bahasa Melayu tercapai. Seterusnya penulis itu menambah, supaya tidak melanggar apa-apa kesalahan dari sudut undang-undang, kerajaan sepatutnya melabelkan bahan-bahan bacaan termasuk majalah dan akhbar dengan ‘bahan bacaan untuk orang Islam’ dan ‘bahan bacaan untuk bukan orang Islam’.

Jangan dicampuradukkan lagi supaya orang ramai dapat membezakan bahan bacaan ‘suci’ supaya tidak disalahgunakan.

TAMPIL BERTANGGUNGJAWAB

Sementara itu akhbar Sinchew Jitpoh terbitan 13 Januari lalu pula menyiarkan artikel mengenai kepimpinan negara yang ditulis oleh Yong Boon Fong yang kini berada di New York. Penulis ini mengaitkan cara Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menangani isu cubaan meletupkan pesawat baru-baru ini yang tampil dengan kenyataan ‘ini adalah tanggungjawab saya’.

Bagaimanapun kata penulis itu, di negara kita, walaupun berlaku bencana sama ada besar atau kecil, bukan sahaja siasatan tiada penghujungnya. Malah, langsung tiada siapa yang berani tampil ke depan dan mengaku bertanggungjawab. Pemimpin dan pegawai atasan dalam kerajaan hanya pentingkan diri sendiri.

Sebab itu banyak perkara yang memalukan berulang kali berlaku kerana tiada siapa yang tampil mengaku bersalah. Apabila berlaku sesuatu, mereka pertamanya akan menutup yang mana boleh. Kedua pula melepaskan tanggungjawab.

Langsung tidak mempunyai jiwa bersalah dan mahu bertanggungjawab. Tidak perlu lihat jauh, dalam kes membakar gereja dan kepala lembu sebelumnya, semua itu adalah contoh yang boleh dilihat. Orang-orang yang mengarak kepala lembu yang masih berdarah Ogos lepas, apa kesudahannya?

‘‘Isu membakar gereja ialah perbuatan orang fanatik. Kenapa terus menuding jari ia dilakukan oleh orang Melayu atau orang Islam? Ia adalah dua isu yang berbeza sama sekali. Kenapa Utusan Malaysia menggunakan isu perkauman dan keagamaan yang langsung tiada kena-mengena?

Utusan Malaysia cuba menimbulkan isu ketegangan antara orang Melayu dan bukan Melayu. Utusan Malaysia cuba memisahkan antara orang Islam dan bukan Islam. Kenapa pihak berkaitan membiarkan laporan sesuka hati yang dibuat oleh Utusan Malaysia dan tidak pernah memberi amaran keras kepada mereka?

Dalam isu kepada lembu dan membakar gereja kerajaan tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawab. Tetapi siapakah yang berani tampil memikul tanggungjawab itu?'' demikian menurut artikel berkenaan. Apabila terdapat sesuatu masalah, mereka cuba kaitkan isu itu kepada perkara ‘sensitif’ yang diharamkan untuk dibincangkan.

Kerana itu apa-apa kes sama ada serius atau tidak yang dilabelkan ‘sensitif’, adalah semata-mata sebagai taktik untuk mempertahankan seseorang. Jika seorang pemimpin takut untuk bertanggungjawab dan tidak berani berkata ‘ini tanggungjawab saya’, orang ramai tidak teragak-agak akan memberitahu apa tanggungjawab mereka yang sebenar.

CUKAI YANG DIRAMPAS

Akhbar Sinchew Jitpoh pada 16 Jan pula menyiarkan artikel yang mengulas mengenai isu cukai kerajaan termasuk cadangan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2011. Menurut penulis artikel itu, Boo Cheng Hou, dalam Perlembagaan Persekutuan ketika ini, kerajaan pusat mempunyai kuasa memungut cukai yang besar memberi pembahagian cukai kepada negeri-negeri.

Dalam perlembagaan juga tidak menegaskan wang cukai tersebut dikembalikan kepada negeri secara adil untuk pembangunan negeri-negeri. Contohnya, cukai pendapatan Pulau Pinang pada 2001 hingga 2008 yang dibayar kepada kerajaan pusat sebanyak RM25.6 bilion. Tetapi dalam masa yang sama, kerajaan pusat hanya memberi kembali kepada kerajaan negeri sebanyak RM794 juta.

Perbezaan yang begitu ketara menyebabkan kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk pembangunan negeri. Perlaksanaan cukai pengguna mencerminkan kuasa kerajaan pusat yang lebih besar. Tidak banyak manfaat kepada kerajaan tempatan dan negeri.

Di AS dan Kanada, cukai-cukai pengguna dikutip oleh Dewan Bandar raya atau negeri kerana itu bidang kuasa mereka. Sebaliknya sistem persekutuan di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), kuasa kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dirampas. Maka terjadinya kuasa kerajaan pusat yang terlalu kuat dan susah untuk dikawal.

Masalah yang dihadapi oleh negara bukan masalah sama ada mahu melaksanakan cukai pengguna atau tidak. Yang kita perlukan ialah ketelusan, adil dan keberkesanan cara pembahagiannya supaya cukai yang diperoleh dapat dimanfaatkan semua rakyat. Isu-Isu Akhbar Cina

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.