Ahad, Januari 24, 2010

Almarhum dipuji rakyat Singapura

SINGAPURA: Presiden Singapura, S R Nathan, berkata Sultan Johor Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail adalah seorang raja yang bijak dan patriotik.

Beliau berkata, sifat mesra Almarhum dengan Singapura membantu mempromosi kestabilan, keselamatan dan pertumbuhan bagi kedua-dua Johor dan Singapura serta Malaysia dan rakyatnya.

Dalam perutusan takziah di atas kemangkatan Sultan Iskandar kepada Sultan Ibrahim Ismail, anakanda Almarhum yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baru semalam, Nathan berkata, persahabatan Almarhum memupuk hubungan baik dengan pemimpin Singapura dan rakyatnya akan sentiasa diingati.

Presiden itu berkata, Almarhum dikenali kerana keprihatinan baginda terhadap rakyat Johor dan Malaysia.

Dalam perutusan takziah beliau kepada Sultanah Johor, Sultanah Zanariah Almarhum Tunku Ahmad, Nathan berkata, naungan Almarhum dalam pertubuhan sukarela di Malaysia telah menempatkan baginda dalam sejarah Malaysia.

"Galakan, sumbangan dan kecintaan untuk negara sentiasa diingati," kata Nathan.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong juga mengutus perutusan takziah kepada Sultanah Zanariah sambil mengatakan ketika pemerintahan baginda, Almarhum Sultan Iskandar memainkan peranan utama dalam pembangunan dan kemakmuran Johor untuk manfaat rakyatnya.

Beliau berkata, bakti Almarhum Sultan Iskandar kepada rakyat Johor dipaparkan melalui kecintaan dan hormat mereka dan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8, telah melaksanakan tanggungjawab Diraja dalam semangat yang sama.

Lee berkata, Almarhum Sultan Iskandar juga memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan baik antara Singapura dan Malaysia.

- BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts