Khamis, Oktober 01, 2009

Penghuni bangunan tinggi panik

Pekerja dan penghuni bangunan tinggi sekitar ibu negara panik dan kelam kabut seketika berikutan gegaran kuat berpunca daripada gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Ritcher yang melanda Sumatera Selatan, petang semalam.

Tinjauan Berita Harian di beberapa lokasi sekitar ibu negara mendapati rata-rata mereka merasai gegaran selama lima saat, bergegas turun meninggalkan kediaman dan pejabat masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

Antaranya 800 penghuni kuarters kakitangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang hanya memasuki kediaman mereka selepas diisytiharkan selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sementara itu, Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima beratus panggilan memaklumkan gegaran di bangunan, terutama yang tinggal dan bekerja di bangunan tinggi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda berlaku dalam kejadian itu.

“Lima jentera bomba digerakkan bagi tujuan pemantauan dan langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Kakitangan CIMB Berhad di Wisma Nusantara, Jalan P Ramlee, yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, berkata semua pekerja di bangunan itu diarahkan turun sebaik gegaran dirasai.

“Ketika itu kami bekerja apabila tiba-tiba merasa lantai bergoyang dan keadaan itu menimbulkan rasa panik kerana tidak pernah berhadapan situasi seperti itu.

“Tidak lama kemudian penyelia mengarahkan semua kakitangan turun sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui di bawah bangunan berkenaan semalam.

Pegawai Kredit Ambank Berhad, Hazrol Amin Yaacob, yang bertugas di Wisma Ambank, Jalan Pudu, berkata beliau melihat botol minuman di atas mejanya tiba-tiba bergoyang sebelum berasa pening.

“Tidak lama kemudian kami diarah turun oleh pegawai keselamatan. Mujurlah ketika kejadian, sudah habis waktu pejabat dan ramai sudah pulang,” katanya.

Gegaran sama turut dirasai di beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts