Jumaat, Oktober 16, 2009

Norlida graduan pertama PhD Pengurusan Risiko

Seorang pensyarah, Norlida Abd. Manaf, 42, muncul individu pertama di negara ini memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Perniagaan dalam bidang Pengurusan Risiko Enterprise.

Norlida, ibu kepada tiga anak yang masih kecil berjaya menyiapkan PhDnya dalam masa tiga setengah tahun di bawah seliaan, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Risiko - Pelan Integriti Strategi Kebangsaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Mohd. Rasid Hussin.

Pensyarah Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika ditemui berkata, beliau berterima kasih kepada pihak UiTM yang memberi peluang dan banyak membantunya menamatkan PhD.

''Bidang Pengurusan Risiko Enterprise ini memang banyak di luar negara tetapi di negara ini pengajiannya hanya ada di UiTM.

''Saya bangga kerana menjadi orang pertama memiliki PhD dalam bidang ini di Malaysia dan tidak sia-sialah saya berulang alik dari Alor Setar ke Shah Alam selama ini," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-71 UiTM di sini hari ini.

Hari ini seramai 417 graduan dari pelbagai peringkat program iaitu 13 graduan Doktor Falsafah dan 402 graduan Sarjana menerima ijazah masing-masing yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuangku Mizan Zainal Abidin.

Sementara itu, Nik Muammar Bahari, 24, terpilih menerima salah satu daripada sembilan anugerah UiTM iaitu Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor setelah berjaya memperoleh nilai gred purata (CGPA) 3.88.

Anak sulung daripada dua beradik itu menerima Sarjana Muda dalam bidang Grafik dan Media Digital merupakan anak yatim yang dibesarkan oleh seorang ibu tunggal, Rakiah Abang, 54.

''Saya rasa terharu dan sangat gembira apabila minat mendalam dalam bidang grafik ini bukan sahaja menyebabkan saya belajar bersungguh-sungguh sehingga layak menerima anugerah ini tetapi ia juga menyebabkan saya ditawarkan satu pekerjaan yang menarik.

''Saya tidak akan mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan kepada saya. Segala ilmu diperoleh di UiTM membuatkan akan membuatkan saya terus berusaha menjadi pereka bentuk yang unggul, bekerja dengan pelbagai klien dan syarikat di serata dunia," katanya.

Nik Muammar kini bertugas sebagai pereka grafik di sebuah syarikat antarabangsa, Graphia Brands, yang berpangkalan di Hong Kong pada 12 Julai lalu sebelum ditugaskan mereka bentuk grafik bagi pelanggan antarabangsa syarikat itu, Qatar National Master Plan baru-baru ini.

Hari ini juga merupakan hari yang bermakna buat Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan isteri, Puan Sri Juriah Datuk Ahmad apabila anak sulung mereka Mohd. Rashid Azhari, 34, dianugerahkan Ijazah Sarjana Perakaunan Forensik dan Kriminologi Kewangan.

Musa yang ditemui selepas majlis konvokesyen memberitahu, beliau sekeluarga begitu berbangga melihat pencapaian anak sulung daripada empat beradik itu yang bersungguh-sungguh mengejar ilmu terutama membabitkan bidang penyiasatan.

''Ini usaha dia sendiri dan sebagai bapa, saya begitu bangga," ujarnya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts